Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ulama pondok Kelantan, PM bincang cara hindari sentimen kebencian
Diterbitkan:  Mar 11, 2025 2:42 PM
Dikemaskini: 6:42 AM

Perdana Menteri hari ini mengadakan pertemuan dengan pemimpin para pemimpin institusi pondok dari Kelantan di Putrajaya, dan mengadakan perbincangan isu semasa.

Menurut Anwar Ibrahim pertemuan itu adalah lanjutan daripada jemputan yang diberikannya kepada mereka pada majlis berbuka puasa di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya semalam.

Dalam pertemuan hari ini, kata Anwar, pelbagai perkara dibincangkan termasuk perkembangan Islam dan pembangunan ummah, serta pentingnya dasar Islam dalam pendidikan diperkukuhkan.

Pada masa sama, kata perdana menteri, mereka menyampaikan pandangan dan nasihat khususnya berkaitan pendidikan turath serta cadangan memperkasa peranan institusi pondok di Malaysia.

"Dalam perbincangan ini, mereka menzahirkan kepentingan memperteguh semangat persaudaraan, memupuk kefahaman dan kasih sayang, serta menghindari kebencian," katanya dalam hantaran di media sosial.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Mohd Na'im Mokhtar.

Institusi pondok adalah antara cabang pendidikan Islam yang sudah bertapak sekian lama di negara ini dan banyak memainkan peranan menyebarkan ilmu kepada orang Islam.

Kelantan merupakan antara negeri yang banyak dibangunkan institusi pondok dan mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan masyarakat.

Menurut Anwar semasa perbincangan berlangsung dia menekankan mengenai perkembangan komunikasi dan kerjasama semakin erat dijalin dengan Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud.

"Kami sependapat bahawa dalam banyak perkara, titik persamaan itu lebih besar berbanding perbezaan," katanya.

Selain itu, kata Anwar, dia menerima saranan yang disampaikan tuan-tuan guru pondok Kelantan itu mengenai pendekatan kerajaan menjelaskan dasar yang dilaksanakan.

"Saya turut mendengar dengan sepenuh perhatian saranan agar usaha penjelasan mengenai inisiatif kerajaan Madani dalam memperkukuh Islam dapat dilakukan dengan lebih bersungguh-sungguh," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS