Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak bercadang untuk mengambil tindakan lanjut terhadap tiga penyampai Era FM atas dakwaan menghina agama Hindu, atas sebab bahawa mereka “telah melalui cukup kesukaran”.
Ia susulan tindakan MCMC mengenakan kompaun RM250,000 terhadap Maestra Broadcasting Sdn Bhd, pengendali stesen radio yang memegang lesen penyiaran Era FM.
Namun, menurut Fahmi, ketiga-tiganya masih ada kemungkinan berdepan tindakan daripada agensi lain, termasuk polis dan majikan mereka, Astro.
“Saya juga telah maklumkan kepada mereka (penyampai radio) yang kita tidak berhasrat untuk mengambil apa-apa tindakan kepada mereka. They have gone through enough,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis buka puasa di Angkasapuri, Kuala Lumpur.
“Semua selesai (di pihak MCMC). (Berkenaan tindakan polis) itu saya tidak tahu kerana bukan bawah bidang kuasa saya. Tapi bagi pihak MCMC, semua selesai,” katanya lagi ketika diminta mengulas isu tersebut dengan lebih lanjut.

Hari ini, MCMC berkata pengendali Era FM dikenakan kompaun sebanyak RM250,000 selepas satu video viral menunjukkan beberapa penyampainya menari dengan kakitangan lain melaungkan “vel vel”.
Sementara itu, Fahmi turut menjawab kritikan di media sosial yang membandingkan jumlah denda terhadap Maestra Broadcasting dengan hukuman ke atas pelawak Harith Iskander dan rangkaian kedai serbaneka KK Mart.
Harith baru-baru ini didenda RM10,000 oleh MCMC atas hantaran Facebook yang dilihat menghina Islam, manakala KK Mart didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam tahun lalu kerana menjual stoking tertera kalimah Allah.
Fahmi menjelaskan jumlah denda terhadap Maestra Broadcasting lebih tinggi kerana ia adalah sebuah syarikat yang menjana pendapatan tahunan yang besar, sementara Harith pula hanya orang perseorangan.
“Berbeza dengan individu.
“Ada yang membuat perbandingan (antara kes ini) dengan kes KK Mart yang didenda RM60,000.
“(Kes KK Mart) di bawah Kanun Keseksaan, undang-undang yang berbeza. Ia tidak melibatkan kandungan dalam talian atau pemegang lesen MCMC,” katanya lagi.
Fahmi berkata dia juga ada bercakap dengan tiga penyampai radio tersebut yang turut hadir di majlis hari ini.
Fahmi berkata dia telah menasihati mereka agar mengambil pengajaran daripada insiden ini dan bersabar dalam berdepan kecaman, yang menurutnya telah memberi tekanan yang besar terhadap mereka.
