Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada arahan AG untuk dakwa bekas CEO 1MDB, kata saksi Najib
Diterbitkan:  Mar 12, 2025 3:28 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

BICARA 1MDB l Saksi pembelaan Najib Razak, R Rajagopal memberi keterangan di mahkamah hari ini bahawa tiada arahan daripada Peguam Negara (AG) untuk mendakwa bekas CEO 1MDB Shahrol Azral, Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abd Rahman.

Bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman itu berkata demikian kepada Mahkamah Tinggi yang bersidang di Putrajaya tentang apa yang berlaku selepas dia menghantar kertas siasatan (IP) kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Semasa pemeriksaan oleh peguam bela Muhammad Shafee Abdullah, Rajagopal memberikan keterangan lisan berhubung siasatannya terhadap beberapa anggota pengurusan 1MDB di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Shahrol Azral (kiri) bersama Ibrahim Halmi

Peruntukan itu berkaitan dengan kesalahan pecah amanah jenayah (CBT) oleh penjawat awam atau ejen.

Shafee: Sehingga hari ini, adakah kamu menerima arahan (daripada AG) berhubung keputusan sama ada untuk mendakwa Shahrol?

Rajagopal: Tiada.

Shafee: Berkenaan dengan Hazem, adakah anda mendapat arahan untuk mengenakan dia?

Rajagopal: Tiada.

Malah kata, penyiasat yang telah bersara itu, dia juga tidak menerima sebarang arahan daripada peguam negara untuk mendakwa bekas ketua pegawai kewangan 1MDB Azmi Tahir dan Radhi Mohamad.

Rajagopal, yang menyiasat laporan polis pada Disember 2014 berhubung dakwaan berlaku pecah amanah jenayah membabitkan dana 1MDB dan bersara pada April 2023, berkata dia tidak mencadangkan kepada pendakwa raya agar pertuduhan dikenakan ke atas para pegawai syarikat itu.

"Yang Arif, siasatan berhubung kes 1MDB ketika itu masih berjalan. Pihak polis masih menantikan dokumen tertentu dari luar negara untuk meneruskan siasatan.

“Bagaimanapun, bagi individu yang tidak dapat dikesan, pertuduhan dikemukakan untuk mendapatkan waran tangkap yang membolehkan kami memohon notis merah daripada Interpol," katanya.

Antara yang didakwa tanpa kehadiran mereka adalah ahli perniagaan dalam buruan iaitu Low Taek Jho atau Jho Low, Tan Kim Loong, bekas pengarah eksekutif 1MDB Casey Tang Keng Chee dan bekas pegawai 1MDB Geh Choh Heng.

Dalam proses perbicaraan membabitkan penyelewengan dana RM2.27 bilion ke atas Najib yang sedang berlangsung itu, pasukan pembelaan bekas perdana menteri itu berhujah bahawa semua salah laku itu didalangi semata-mata oleh Jho Low serta anggota pengurusan syarikat pelaburan negaa tersebut.

Antara mereka yang dinamakan termasuk Shahrol, Hazem, Azmi, dan Radhi, serta bekas pegawai undang-undang 1MDB Jasmine Loo.

Secara kebetulan, bekas anggota kanan 1MDB itu adalah antara saksi utama yang dipanggil oleh pihak pendakwaan untuk memberi keterangan terhadap Najib, yang juga pernah menjadi menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat syarikat itu yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Sebagai rekod, pertuduhan 1MDB terhadap Najib adalah berdasarkan dakwaan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 dan dakwaan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada 30 Okt tahun lepas, hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB.

Mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Najib berdasarkan kekuatan keterangan daripaa kira-kira 50 saksi, termasuk Shahrol, Hazem, Azmi, Radhi, dan Loo.

Antara awal Disember tahun lalu dan akhir Januari tahun ini, Najib menghabiskan 26 hari di kandang saksi cuba menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

Jho Low (kiri) bersama Jasmine Loo

Tertuduh, 71, berhujah bahawa dia tidak mempunyai pengetahuan mahupun penglibatan dalam salah laku 1MDB.

Bekas ahli parlimen Pekan itu juga bergantung kepada pembelaan bahawa dia dijanjikan derma oleh raja Arab Saudi Raja Abdullah semasa pertemuan di Riyadh pada 2010.

Perbicaraan bersambung esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS