Ahli perniagaan yang mendedahkan video dan mesej Whatsapp yang membongkar salah laku beberapa Adun di Sabah disoal siasat selama lebih lima jam di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Dia memberitahu Malaysiakini sesi soal siasat itu bermula pada jam 11.30 pagi dan berakhir pada jam 5 petang.
Peguamnya, Mahajoth Singh dari Lawyers for Liberty (LFL), turut hadir sepanjang sesi tersebut.
“Semuanya berjalan lancar. Saya telah dipanggil semula untuk soal siasat,” tambahnya.
Ahli perniagaan berusia 36 tahun itu sebeum ini mendakwa dia telah memberi rasuah kepada beberapa Adun sebagai balasan untuk mendapatkan lesen cari gali mineral di Sabah.
Isnin lalu, ahli perniagaan tersebut memuat naik video kesembilan yang turut memaparkan Speaker DUN Sabah, Kadzim Yahya.
Kadzim menafikan dia mengetahui mengenai wang sebanyak RM350,000 yang disebut dalam video tersebut. Sebaliknya dia mendakwa hanya meminjam RM50,000 daripada ahli perniagaan itu.
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, pula mendakwa ahli perniagaan tersebut bersubahat dengan pihak tertentu untuk menggugat kerajaan negeri pimpinannya.
Turut dispekulasikan bahawa ahli perniagaan itu adalah sebahagian daripada kartel yang cuba memonopoli sektor perlombongan di negeri tersebut dan menggunakan cara penipuan untuk mencapai matlamat itu.
Pada Rabu lalu, LFL menyerahkan video penuh tanpa suntingan kepada SPRM selepas Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki, berkata video yang telah disunting dan diterbitkan oleh Malaysiakini tidak boleh dijadikan bahan bukti.
Dalam satu sidang media, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, yang juga pengasas bersama LFL, mendedahkan bahawa terdapat individu berpengaruh yang cuba menghalang ahli perniagaan itu daripada membuat laporan.
