Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kontroversi bekas pembantu dijangka jejas peluang Teresa dalam pemilihan DAP

Teresa Kok tidak menolak kemungkinan kontroversi melibatkan bekas pembantunya yang kini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mempengaruhi peluangnya untuk mempertahankan kerusi dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dalam pemilihan parti pada 16 Mac ini.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata dia sedia maklum ramai pihak yang tidak berpuas hati dengannya susulan penangkapan bekas kakitangannya itu yang didakwa terlibat dalam rasuah berhubung pembekalan papan pintar interaktif ke beberapa sekolah di Kuala Lumpur.

“Mungkin (saya akan) terkesan (dalam pemilihan parti) kerana bagi perwakilan DAP yang kenal dengan bekas pembantu saya itu saya rasa mereka mungkin akan gunakan undi mereka untuk undi keluarkan saya atau tolak saya,” katanya kepada Malaysiakini, ketika ditanya kemungkinan ada gerakan yang ingin menjatuhkannya dalam pemilihan DAP.

“Bekas pembantu saya ini dah berkhidmat dengan saya lebih 10 tahun, jadi ada ramai ahli yang tidak dapat terima bila saya ambil tindakan pecat dan hentikan perkhidmatan dia pada tahun lepas ketika mana saya dapati berlaku penyelewengan tanpa pengetahuan saya.

“Penyelewengan terhadap peruntukan kawasan Parlimen saya dan sejak waktu itu beberapa ahli DAP Seputeh tidak puas hati dengan saya .

“Mereka sebar banyak kritikan terhadap saya di kalangan ahli DAP dan pemimpin cawangan,” tambahnya.

Pada 6 Mac, naib pengerusi DAP itu mendedahkan SPRM telah menahan dua bekas kakitangannya yang sebelum ini menguruskan kewangan dan dana kawasan di pusat khidmatnya sebelum mereka meletakkan jawatan tahun lalu.

Menurut Kok, dia percaya siasatan SPRM berkaitan dengan pembelian papan pintar pada harga yang didakwa melambung tinggi.

Kok turut menjelaskan pada akhir Oktober tahun lalu, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri telah menghubunginya untuk memaklumkan peruntukan kawasannya telah digunakan bagi menyalurkan RM99,000 kepada setiap 16 sekolah untuk pembelian papan pintar dan TV pintar.

Namun, kata Kok, dia tidak pernah meluluskan peruntukan dalam skala sebegitu dan siasatan lanjut mendapati syarikat yang mengeluarkan invois tersebut tidak adalah entiti palsu.

Malaysiakini difahamkan salah seorang yang ditahan SPRM berhubung siasatan kes itu merupakan calon dalam pemilihan DAP.

Susulan itu, timbul dakwaan menuduh Kok menggunakan SPRM untuk mempengaruhi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP yang akan datang.

Kok bagaimanapun menegaskan bahawa dia tidak mempunyai pengaruh ke atas SPRM dan menafikan pernah membuat laporan kepada suruhanjaya itu.

Ujian buat perwakilan DAP

Sementara itu, ketika dihubungi hari ini, Kok berkata dia tidak berpeluang untuk memberi penjelasan mengenai perkara itu kepada ahli parti, khususnya di Kuala Lumpur yang mengenali bekas pembantunya itu.

“Jadi, sehingga dia ditahan SPRM ramai yang terkejut khususnya bila bekas pembantu saya ini salah seorang calon dalam pemilihan kepimpinan DAP

“Jadi, tangkapan itu berlaku seolah-olah saya yang arahkan. Tapi kita tahu mana saya ada kuasa itu untuk membuat arahan sedemikian,” katanya.

Bagaimanapun, Kok berkata kejadian itu merupakan ujian buat dirinya dan perwakilan DAP yang akan mengundi pada pemilihan parti itu.

“Saya rasa ini adalah satu ujian buat perwakilan parti terhadap prinsip DAP.

“Apakah prinsip DAP? Apakah yang menarik mereka menyertai DAP? Prinsip DAP adalah untuk mengadakan integriti, akauntabiliti, kebertanggungjawaban, tata kelola yang baik serta prinsip demokrasi.

“Jadi, kalau apa yang berlaku di pusat khidmat saya itu, saya tidak ambil tindakan dan hentikan perkhidmatan dia, apa lagi saya boleh buat?

“Saya tidak mahu pusat khidmat parlimen saya ini jadi satu pusat untuk melakukan rasuah,” katanya.

Pada 7 Mac lalu SPRM mengesahkan penahanan dua individu sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan rasuah dalam pembekalan papan pintar interaktif ke beberapa sekolah di Kuala Lumpur.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Zainul Darus dipetik Bernama memaklumkan penahanan dua individu tersebut, termasuk seorang pegawai khas kepada seorang ahli parlimen yang tidak dinamakan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Laporan itu turut mendakwa kedua-dua lelaki dalam lingkungan usia 30-an yang ditahan telah meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000 sebagai balasan untuk meluluskan dana Projek Mesra Rakyat berjumlah RM1.5 juta bagi pembekalan papan pintar interaktif.

Kedua-dua mereka dilaporkan ditahan ketika memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 5 Mac, sebelum direman selama empat hari.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS