Fikirkan masalah dialami sesebuah syarikat juga – itu pandangan bekas perdana menteri berhubung langkah kerajaan menyuntik dana RM1.1 bilion untuk syarikat Sapura Energy Bhd (Sapura Energy).
Kata Mahathir sesebuah kerajaan wajar membantu syarikat yang bermasalah namun ia mestilah tertakluk kepada alasan yang kukuh serta kajian menyeluruh.
Menurut penasihat kepada empat kerajaan negeri PN itu, kejatuhan sesebuah syarikat seperti Sapura Energy akan memberi kesan kepada ekonomi serta tenaga kerja.
Langkah tersebut juga, katanya, mestilah dipantau agar matlamatnya tidak lari dari sasaran sebenar.
“Kalau mereka (kerajaan) buat kajian dahulu dan ada sebab, boleh bantu. Jangan kita bagi sesuatu syarikat itu mudah jatuh.
“Namun, kena tentukan wang yang diberikan itu digunakan dengan baik,” katanya seperti dipetik Sinar Harian ketika di Shah Alam malam tadi.
Semalam media melaporkan Sapura Energy menerima dana daripada kerajaan sebanyak RM1.1 bilion melalui Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH).
Ia merupakan sebuah syarikat tujuan khas yang diletakkan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan.
Dalam pemberitahuan kepada Bursa Malaysia, Sapura Energy berkata wang berkenaan akan digunakan secara eksklusif untuk membayar hutang syarikat minyak dan gas itu kepada 2,000 vendornya.
Fikir masalah pekerja
Ia kemudian mendapat kritikan daripada pembangkang termasuk Ahli Parlimen Bachok dari PAS, Syahir Sulaiman.
Anak Mahathir, Mokhzani, merupakan pelabur utama dalam Sapura Energy yang sebelum ini dikenali sebagai SapuraKenchana.
Dia bagaimanapun menjual pegangannya dalam Sapura Energy pada 2017 ketika syarikat terbabit sedang bergelut dengan beban kewangan namun belum mengalami krisis.
Sapura Energy mengalami masalah sekitar pertengahan 2010 apabila berlaku kejatuhan harga minyak dunia menyebabkan syarikat itu mula mengalami kerugian dan dibayangi hutang.
Menjelang 2019, masalah syarikat telah berkembang sehingga ia mula mencatatkan kerugian setiap tahun.
Pada 2022 - selepas tiga anak syarikatnya berdepan penggulungan - Najib mencadangkan agar Petronas menyelamatkan Sapura Energy.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menentang langkah penyelamatan (bailout) tersebut. Pendirian itu dinyatakan Anwar ketika dia berdebat dengan Najib Razak.
Ketika itu Anwar merupakan ketua pembangkang manakala Najib menjadi perdana menteri.
Kata Anwar sebarang perbincangan mengenai pakej penyelamatan hanya boleh dilakukan selepas audit forensik dibuat ke atas Sapura dibuat bagi menentukan sama ada syarikat itu - yang menerima banyak pelaburan daripada Permodalan Nasional Berhad - telah disalah urus.

Mahathir juga menentang langkah menyelamatkan Sapura Energy pada masa itu dengan menekankan, usaha sepatutnya ialah mengurangkan hutang syarikat terbabit.
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, semasa mempertahankan langkah terkini semalam berkata, tindakan suntikan dana itu berbeza daripada apa yang pernah dibuat kerajaan sebelum ini.
Kata Fahmi, suntikan berkenaan merupakan satu “pelaburan strategik”.
“Pelaburan itu akan digunakan khusus untuk menguruskan tunggakan yang perlu dibayar oleh Sapura Energy kepada lebih 2,000 vendor dengan 80 peratus daripada mereka adalah bumiputera,” katanya.
Kata Mahathir walaupun langkah Putrajaya itu boleh dianggap sebagai bailout, ia dianggap perlu kerana syarikat yang berkaitan mempunyai jumlah pekerja yang begitu ramai.
“Mungkin ia adalah bailout tetapi mana-mana syarikat pun kita perlu bailout kerana kegagalan satu-satu syarikat memberi kesan, bukan sahaja kepada pemilik tetapi juga pekerja.
"Jadi kita kena fikir tentang masalah mereka juga,” katanya.