Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim mengingatkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim supaya tidak menjadikan bumiputera sebagai alasan untuk mewajarkan keputusan ‘bodoh’.
Zaid berkata demikian susulan keputusan kerajaan menyuntik dana berjumlah RM1.1 bilion ke dalam Sapura Energy Bhd, sebuah syarikat yang dibebani hutang, dengan alasan vendor bumiputera akan terjejas jika bantuan tidak diberikan.
“Berhenti menggunakan bumiputera sebagai alat. Berhenti bersikap perkauman. Bodoh itu sudah cukup teruk,” kata Zaid.
“Setiap kali pemimpin bumiputera ingin mempertahankan keputusan yang bodoh, mereka akan menggunakan alasan ‘bumiputera’. Ia sesuatu yang mengarut.
“Adakah maksudnya perdana menteri tidak akan melabur dalam Sapura sekiranya vendornya terdiri daripada orang Cina? Jadi adakah sesuatu itu hanya dianggap strategik jika melibatkan bumiputera?” soal Zaid dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu Anwar hari ini menempelak mereka yang mengkritik keputusan kerajaan membantu Sapura Energy, sambil menegaskan bahawa dana tersebut akan digunakan sepenuhnya untuk membayar vendor.
"Daripada kira-kira 2,000 vendor, 80 peratus daripadanya adalah bumiputera yang telah menyumbang (kepada Sapura Energy). Bagaimana mereka (vendor) boleh dihukum?
“Kalau saya tak tolong, (dituduh) Anwar khianat (sebab) dia bukan lagi bantu perjuangkan nasib bumiputera, dia hanya jadi jurucakap DAP.
“Kalau kita buat, dia kata: oh ini kita bantu (syarikat terbabit). Saya tak bantu selamatkan tauke-tauke kaya. Wang itu setiap sen terus (dibayar) kepada vendor yang telah bekerja (untuk Sapura Energy) dan tidak dapat bayaran,” katanya semasa menyampaikan ucapan dalam perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya.
Menteri Kewangan I itu juga berkata kerajaan meletakkan syarat pengurusan tertinggi Sapura Energy dirombak sepenuhnya sebelum RM1.1 bilion disalurkan ke syarikat itu.
Mengulas perkara itu Zaid turut mempersoalkan mengapa vendor bumiputera tidak dibayar oleh Sapura Energy sejak awal lagi.
“Kerana bumiputera lain dalam syarikat itu sibuk menjaga kepentingan sendiri," sambungnya.
Semalam, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menafikan suntikan dana ke dalam Sapura Energy merupakan usaha penyelamatan atau ‘bailout’, sebaliknya menjelaskan ia merupakan satu bentuk “pelaburan strategik” oleh kerajaan.