Saksi pembelaan bekas perdana menteri Najib Razak memberi keterangan bahawa lembaga pengarah 1MDB tidak memberi kelulusan mengenai pemindahan dana AS$700 juta kepada Good Star Limited.
Pegawai penyiasat polis bersara R Rajagopal memberitahu Mahkamah Tinggi di Putrajaya hari ini mengenai hasil siasatannya terhadap pemindahan wang 1MDB kepada entiti luar pesisir yang dikaitkan dengan ahli perniagaan yang kini dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low).
Saksi itu menjawab pemeriksaan utama peguambela Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin semasa perbicaraan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram 1MDB melibatkan dana RM2.27 bilion.
“Tiada arahan daripada lembaga pengarah (1MDB) untuk AS$700 juta dimasukkan ke akaun Good Star.
"Siasatan saya menunjukkan bahawa pemindahan wang ke Good Star bertentangan dengan keputusan lembaga," kata Rajagopal yang merupakan pegawai penyiasat ke atas dakwaan pecah amanah jenayah oleh penjawat awam atau ejen.
Pada penghujung 2009 selepas 1MDB memeterai usaha sama AS$1 bilion dengan Petrosaudi International Limited (PSI), AS$700 juta daripada jumlah itu telah dialihkan kepada Good Star.
Sepanjang perbicaraan sejak 2019, bukti lisan dan dokumen telah dikemukakan di mahkamah untuk menunjukkan bahawa entiti luar pesisir itu pada satu ketika telah diluluskan sebagai anak syarikat PSI.
Pasukan pembelaan Najib berhujah bahawa bekas menteri kewangan itu tidak mempunyai pengetahuan atau penglibatan dalam salah laku di 1MDB, dan penyelewengan di syarikat itu hanya didalangi oleh Jho Low dan ahli pengurusannya.
Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah disambung semula pada 24 Mac.
Pada 30 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri atas empat salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB.
Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie (boleh bertanggungjawab) terhadap Najib kerana kekuatan kira-kira 50 keterangan saksi.
Saksi pendakwaan ini termasuk bekas ahli pengurusan 1MDB, iaitu bekas CEO Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas ketua pegawai kewangan Azmi Tahir, dan bekas peguam am Jasmine Loo.
Antara awal Disember tahun lalu dan akhir Januari tahun ini, Najib menghabiskan 26 hari di kandang saksi cuba menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.
Bekas ahli parlimen Pekan itu juga bergantung kepada pembelaan bahawa dia dijanjikan derma oleh raja Arab Saudi Raja Abdullah semasa pertemuan di Riyadh pada 2010.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.