Selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki secara terbuka menamakan pemberi maklumat dalam skandal rasuah Sabah, maklumat lain mengenai ahli perniagaan itu turut dibocorkan.
China Press menerbitkan gambar kenderaan pemberi maklumat dengan nombor plat yang boleh dilihat sepenuhnya. Nama penuhnya juga turut dinyatakan.
Kereta itu dikesan di luar ibu pejabat SPRM di Putrajaya, lokasi ahli perniagaan itu dipanggil untuk satu lagi pusingan soal siasat pagi ini.
Tajuk artikel China Press berbunyi "SPRM sangat sibuk hari ini", merujuk kepada soal siasat ahli perniagaan berusia 36 tahun itu dan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.
Terdahulu, Ismail yang hadir bagi memberi keterangan berhubung wang RM177 juta yang dirampas daripada premis yang dikaitkan dengan bekas pembantunya, meninggalkan ibu pejabat SPRM selepas empat jam.
Sementara ahli ahli perniagaan itu, yang tiba pada pukul 10 pagi, dipercayai masih belum selesai memberikan keterangan ketika laporan ini diterbitkan.
Pada Selasa, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya mengenal pasti ahli perniagaan berusia 36 tahun itu hanya sebagai "Albert", tanpa mendedahkan nama keluarganya.
Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, Azam mendakwa Albert telah memberi kuasa kepada peguamnya untuk mendedahkan namanya dan seterusnya mendedahkan identiti penuhnya pada sidang media.
Walaupun bapa kepada dua anak itu tidak goyah selepas namanya didedahkan, dia mengakui tetap bimbang terhadap keselamatan keluarganya.
Awal hari ini, Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) mengecam Azam kerana menamakan pemberi maklumat.
Sambil menyifatkan tindakannya sebagai cuai, ia berkata ini akan menjejaskan sebarang perlindungan yang diberikan kepada pemberi maklumat pada masa hadapan.
“Risiko yang diambil oleh pemberi maklumat ini dalam usaha untuk mengemukakan kisahnya adalah jelas, namun pihak berkuasa nampaknya telah mengabaikan sepenuhnya keselamatannya – dengan pendedahan Azam hanya meningkatkan ancaman yang ditimbulkan kepada pemberi maklumat atas tindakannya,” tambah C4.