Pemberi maklumat dalam skandal rasuah Sabah mendedahkan resit pemindahan wang yang didakwa diberikan kepada Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah Fairuz Renddan.
Ahli perniagaan itu - yang dikenali sebagai ‘Albert’ - berkongsi resit pemindahan wang RM5,000 pada Mei 2021 untuk menyegarkan ingatan pembantu menteri belia dan sukan negeri itu.
Semalam, Fairuz menafikan mengenali Albert atau mempunyai ingatan mengenai sebarang pertemuan antara mereka. Dia juga menyatakan bahawa menerima sumbangan daripada rakan-rakan bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Bagaimanapun, ahli perniagaan yang dikenali sebagai Albert itu menggesa Fairuz menyemak akaun Public Bank miliknya yang didaftarkan atas nama peribadinya.
“Jangan risau, rekod bank tidak hilang begitu sahaja. Resit pemindahan termasuk nombor rujukan, tarikh dan masa, jadi ia tidak sukar dicari,” katanya.

Albert menasihatkan Fairuz supaya tidak memberikan "alasan seperti Speaker DUN Kadzim Yahya", yang mendakwa dia meminjam RM50,000 daripada ahli perniagaan itu selepas kehilangan dompetnya.
“Mengapa saya meminjamkan Kadzim dalam jumlah yang besar dan tidak meminta ia dipulangkan? Dia bukan keluarga mahupun kawan rapat,” tambah ahli perniagaan itu.
Albert berkata, dia juga memberi maklum balas terhadap akaun media sosial tertentu yang mencabarnya untuk menyiarkan resit itu dan tidak menyebarkan fitnah terhadap Fairuz.
Malaysiakini telah menghubungi Fairuz untuk mendapatkan ulasan.
Penafian Fairuz dibuat selepas dia mengkritik bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya kerana mempertahankan Albert, yang sebelum ini didakwa mengikut Akta Imigresen tetapi dilepaskan tanpa pembebasan (DNAA) pada 2019.
Bagaimanapun, Latheefa berkata dia enggan beralih dari isu sebenar.
“Saya tidak akan bertindak balas terhadap percubaan untuk mengenepikan isu itu. Ini adalah untuk memastikan kerajaan persekutuan tidak mengabaikan bukti prima facie yang jelas tentang rasuah," katanya.
“Video itu (dari pemberi maklumat) cukup memberi penjelasan. Biarkan siasatan dijalankan secara adil, bebas dan tanpa berat sebelah,” katanya.
Sejak November lalu, Albert telah mengeluarkan sembilan video dan sejumlah tangkap layar mesej WhatsApp yang didakwa membabitkan beberapa Adun Sabah. Dia mendakwa telah merasuah ahli politik negeri itu sebagai pertukaran untuk mendapatkan lesen cari gali mineral.
Selepas temu bual kedua dengan SPRM semalam, peguam Albert, Mahjoth Singh, menyatakan bahawa anak guamnya telah memberikan "bukti yang mencukupi" kepada suruhanjaya itu.
“Kenyataan itu merangkumi hampir 50 muka surat. Rasuah oleh penjawat awam mesti disiasat dengan segera dan teliti. Bola kini di gelanggang SPRM,” katanya selepas sesi 11 jam itu.
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menafikan dakwaan terhadapnya, menuduh Albert bekerjasama dengan individu yang mempunyai kepentingan dalam menjejaskan pentadbirannya.
Albert juga dituduh menjadi sebahagian daripada kartel yang ingin memonopoli aktiviti perlombongan di Sabah melalui cara penipuan.
