Sebuah pusat perlindungan haiwan di Seremban berjaya mendapatkan bantuan daripada kerajaan dan sektor swasta bagi menangani masalah akses yang telah lama membelenggu mereka dan mengancam lebih 2,000 ekor anjing jalanan yang diselamatkan.
FurryKids Safehaven memaklumkan mereka telah menerima sokongan yang diperlukan untuk menangani keadaan jalan rizab sepanjang 1km yang tidak pernah dibangunkan, melalui kawasan hutan dan termasuk sebuah jambatan yang telah rosak.
Sebelum ini, pusat perlindungan tersebut merayu sumbangan orang ramai membersihkan laluan rizab itu kerana satu-satunya jalan masuk ke premis mereka terletak di atas tanah persendirian.
Pemilik tanah itu didakwa enggan membenarkan pusat tersebut menggunakan laluan itu walaupun pihak FurryKids bersedia untuk berunding dan membayar sewa.

Memandangkan kebanyakan haiwan jalanan yang diselamatkan itu anjing tua, kurang upaya, atau masih dalam proses pemulihan, pihak FurryKids menolak pilihan untuk berpindah ke lokasi lain kerana ia akan memberi kesan besar kepada haiwan-haiwan tersebut.
FurryKids memaklumkan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke, yang juga Menteri Pengangkutan, serta Adun Nilai, Arul Kumar Jambunathan, telah memberikan tajaan berjumlah RM18,000 bagi menampung kos pembersihan jalan rizab tersebut.
Selain itu, syarikat pembinaan Negeri Roadstone Sdn Bhd juga bersetuju untuk menaja bahan crusher run bagi menstabilkan permukaan jalan.
"Semalam, pegawai dari Pejabat Tanah telah melawat lokasi kami bagi menjalankan pemetaan laluan, menandakan satu langkah penting ke arah penyelesaian jangka panjang.

"Dalam beberapa hari akan datang, crusher run akan ditabur dan dipadatkan, menjadikan jalan boleh dilalui serta memudahkan akses ke pusat perlindungan kami," kata kenyataan itu lagi.
Walaupun proses menurap jalan dijangka memakan sedikit masa, pihak FurryKids berharap kerja-kerja ini dapat disiapkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Pihak FurryKids turut menyatakan penghargaan mereka kepada kerajaan atas tindakan pantas dan tegas dalam membantu menyelesaikan isu ini, sambil menekankan kepentingan kerjasama antara komuniti untuk mengatasi cabaran bersama.
Walaupun bantuan telah diterima selepas berbulan-bulan berdepan kesukaran namun pihak FurryKids berkata cabaran masih belum berakhir kerana pekerja mereka masih kekurangan laluan selamat dan terus ke jalan utama.
"Jalan rizab yang ditetapkan sepanjang 1km melalui hutan tebal, menimbulkan risiko keselamatan, terutama pada waktu malam.
"Kami sedang mencari penyelesaian terbaik untuk masalah ini dan berharap dapat menemui alternatif yang lebih selamat dalam masa terdekat," tambah kenyataan itu.
Dalam satu hantaran di Facebook pagi ini, pihak FurryKids juga berkata akses ke pusat perlindungan itu masih boleh dihalang pada bila-bila masa oleh pemilik tanah persendirian. Sekiranya ini berlaku, pusat itu boleh terputus daripada bekalan penting.
Oleh itu, mereka merancang untuk menggunakan sumbangan orang ramai yang telah diterima setakat ini untuk menyimpan stok makanan, bekalan perubatan dan keperluan lain bagi memastikan anjing-anjing yang diselamatkan tetap mendapat penjagaan yang baik.
Untuk maklumat lanjut atau menyumbang kepada pusat perlindungan ini, orang ramai boleh menghubungi FurryKids di 016-2307854 atau melayari laman Facebook.
