Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Ada apa dengan Seluruh England kali ini?

ULASAN SUKAN | Apa sudah jadi dengan pemain badminton negara kita di kejohanan Seluruh England?

Nak kata marah, tidak; nak kata geram, tidak. Nak kata kasihan, pun tidak.

Sesungguhnya, kempen skuad negara di Siri Super 1000 di Birmingham itu jelas dipalit episod yang amat mengecewakan.

Tiada satu pun wakil kita yang memiliki prospek besar berjaya mara sekurang-kurangnya ke saingan separuh akhir. Ini adalah kali pertama – sejak 2019 – tiada seorang pun dapat meloloskan diri ke kelompok empat terbaik.

Pujian harus diberikan kepada regu Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (beregu campuran) yang menjadi penyelamat maruah negara apabila layak ke suku akhir.

Memang kita akur faktor kecederaan dan tahap kecergasan membunuh cabaran segelintir pemain. Tetapi kenapa tiba-tiba hampir semua pemain kecundang? Mereka juga kelihatan seolah-olah seperti ‘kentang empuk” apabila terkandas dalam aksi pusingan pertama dan kedua.

Di Seluruh England mereka seperti kehilangan arah dan tumpul sengat. Mereka nampak kaku seolah-olah belum cukup bersedia untuk menempuh halangan peringkat tinggi.

Apakah prestasi mereka merudum begitu sahaja? Kalau benar, bagaimanakah ia boleh berlaku?

Beralih ke angin Eropah

Aksi hambar itu jauh berbeza jika dibandingkan ketika segelintir mereka memperagakan garang masing-masing semasa memenangi beberapa gelaran serta kutipan hadiah wang besar dalam kalendar kejohanan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada 2024.

Rentak itu mengagumkan apabila beberapa pemain bintang negara menyerlah pada tiga Siri Super yang pertama. Justeru ia menyalakan harapan peminat agar prestasi pada 2024 diteruskan tahun ini.

Corak mantap dan padu itu terbukti benar apabila pasangan beregu nombor satu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjuarai Terbuka India pada 14-19 Jan lalu. Mereka menewaskan pasangan yang baru digandingkan dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Kim Won Ho dalam aksi final di New Delhi.

Anehnya, mereka tumpas kepada lawan yang sama itu dalam saingan pusingan kedua Seluruh England pada 13 Mac.

Sesungguhnya, Sze Fei-Izzuddin seperti tidak kelihatan hadir di Birmingham. Begitu juga regu lain – Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Yap Roy King-Wan Arif Junaidi.

Pada kejohanan Terbuka India, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly-Thinaah (beregu wanita) dan Soon Huat-Shevon Lai (beregu campuran) turut mara ke separuh akhir.

Kemudian giliran Wei Chong-Kai Wun pula melakar gemilang apabila menjuarai Indonesia Masters pada 21-16 Januari apabila menewaskan jaguh Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Selepas pulang berehat hampir tiga minggu, kem badminton negara kemudian beralih angin ke Eropah, dan tiba-tiba mereka terkulai layu.

Kecuali pasangan beregu lelaki, Roy King-Wan Arif ,yang layak ke separuh akhir di Orleans Masters pada awal Mac ini, pemain lain hanya mampu menggigit jari.

Senario itu juga memberi gambaran menakutkan mengenai kemampuan mereka menghadapi kejohanan Seluruh England yang jauh lebih mencabar dengan kehadiran ramai bintang dunia.

Faktor jurulatih baru

Terbukti kebimbangan rentak sumbang di gelanggang Birmingham akhirnya menjadi kenyataan.

Detik kecewa itu turut dikongsi dua legenda badminton negara, Rashid Sidek dan abangnya, Jalani, yang menuntut Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat penelitian pascanilai (post-mortem) bagi mengenal pasti kelemahan yang ada.

Rashid difahamkan terkejut apabila tiada wakil negara di separuh akhir. Dia beranggapan isu di sini lebih terarah pada soal persiapan dan perancangan. Menggunakan alasan tekanan bukan tidak sepatutnya jadi hujah utama kerana majoriti pemain negara memiliki pengalaman cukup baik di pentas antarabangsa.

Kita juga boleh bertanya kepada Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, agar memberi sedikit pencerahan mengenai misi yang kecundang di England , serta apakah rancangan susulan untuk meningkatkan semula semangat pemain bagi menempuh misi berikutnya.

Ia termasuk kejohanan Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China pada 27 April sehingga 4 Mei depan. Pada saingan itu, skuad negara diundi dalam kumpulan C bersama Jepun, Australia dan Perancis.

Seperkara lagi, apakah perubahan dalam corak latihan, khasnya dalam acara beregu lelaki, sejak kehadiran ketua jurulatih baru, Herry Iman Pierngadi, memberi sedikit kesan kepada persembahan anak didiknya?

Rexy Mainaky

Dia sendiri akur dalam satu kenyataan kepada media tempatan baru-baru ini bahawa pemain negara memerlukan sedikit masa menyesuaikan diri dengan perubahan corak permainan yang cuba diterapkan olehnya.

Pada pengamatannya, ia adalah proses yang memerlukan masa – mungkin antara enam bulan sehingga setahun – serta corak permainan memang sedikit berbeza, justeru tidak semua pemain dapat menyerap dengan cepat.

Apa pun persoalannya akan berbalik juga kepada komitmen pemain kerana mereka yang beraksi di atas gelanggang, dan bukan pengendali mereka.

Bukan sahaja beregu lelaki, acara lain seperti beregu campuran juga seperti ‘longgar’ ketika elemen emosi mengawal diri mereka. Ia terserlah apabila mereka kerap melakukan kesilapan, serta corak permainan kurang konsisten yang sekadar menguntungkan pihak lawan.

Detik hitam di Birmingham sesungguhnya adalah tanggungjawab semua dan tidak boleh menuding jari ke arah pemain sahaja.

Semua pihak mesti bangkit semula dan mencari ilham memastikan kem badminton negara dapat menebus kehampaan ini segera, khususnya merakamkan pencapaian terpuji d Piala Sudirman nanti.


V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS