Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO gesa parti politik sokong cadangan hadkan tempoh PM
Diterbitkan:  Mar 19, 2025 10:20 AM
Dikemaskini: 2:20 AM

Sekumpulan pertubuhan masyarakat sivil hari ini menggesa semua parti politik menyokong pindaan perlembagaan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada dua penggal atau maksimum 10 tahun.

CSO Platform for Reform dalam satu kenyataan berkata, langkah itu adalah pembaharuan kritikal yang akan menghalang tumpuan kuasa berlebihan, memupuk kestabilan demokrasi, dan meningkatkan integriti institusi.

"Dengan melaksanakan had dua penggal ia akan menggalakkan tadbir urus yang lebih bertanggungjawab, telus dan dinamik sambil memastikan tiada seseorang pun individu yang menggunakan kuasa yang tidak dikawal dalam tempoh masa yang lama.

"Kami menggesa semua parti politik menyokong pindaan ini dan memudahkan pelaksanaannya dengan pantas," katanya.

Menurut kumpulan itu, Malaysia telah menyaksikan akibat di sebalik kepimpinan yang berpanjangan oleh bekas perdana menteri yang telah berkhidmat selama 22 tahun, merujuk kepada kepimpinan Dr Mahathir Mohamad.

"Tempoh yang berlanjutan ini berisiko menerusi penyatuan kuasa, melemahkan semakan dan imbangan institusi, dan secara tidak langsung menghalang kemunculan kepimpinan baru," katanya.

Dalam pada itu, CSO Platform Of Reform berkata cadangan tersebut juga perlu diperluas ke peringkat negeri.

"Ketua Menteri dan Premier juga harus tertakluk kepada had penggal yang sama untuk memastikan tadbir urus demokrasi yang konsisten merentas semua peringkat kerajaan.

"Pembaharuan ini akan mengekang penguasaan politik yang berakar umbi, menggalakkan penggantian kepimpinan, dan juga mengukuhkan keseluruhan rangka kerja demokrasi negara,” katanya.

Justeru CSO Platform for Reform menyeru semua pemimpin politik mengetepikan kepentingan politik partisan dan mengutamakan pembaharuan yang menguntungkan rakyat.

"Masa untuk memberi alasan dan penangguhan sudah pun berakhir. Kini Malaysia mempunyai peluang untuk mencipta sejarah dalam mengukuhkan demokrasinya," ujarnya.

Ahad lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menggesa kerajaan melaksanakan beberapa reformasi yang masih belum dilaksanakan, termasuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri dan pemisahan kuasa kehakiman.

Namun kenyataan itu mendapat reaksi daripada Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang melihat cadangan tersebut sebagai satu usaha golongan “minoriti” untuk mengawal “majoriti” dengan cara merombak Perlembagaan.

Seorang lagi pemimpin PAS, Syahir Sulaiman, yang juga ahli parlimen Bachok berkata topik tersebut terbuka untuk dibincangkan, namun dengan syarat jawatan perdana menteri hendaklah ditetapkan khusus untuk orang Islam sahaja.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS