Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Utamakan cadangan DAP belakangi ketetapan Allah
Diterbitkan:  Mar 19, 2025 1:23 PM
Dikemaskini: 5:24 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyelar pihak yang “berlumba-lumba” memberikan sambutan positif terhadap pendirian DAP supaya jawatan perdana menteri dihadkan kepada 10 tahun.

Tidak menamakan pihak itu secara khusus, dia berkata mereka seolah-olah lupa, jahil atau tidak mempedulikan dasar lebih penting, iaitu “mencapai wawasan dunia dan akhirat yang kekal mengikut ketetapan Allah yang mewajibkan Islam memimpin negara”.

“Hal ini demikian kerana, tanggungjawab tersebut merupakan amanah yang besar daripada Allah,” tulis anggota parlimen Marang di media sosial hari ini.

“Bukan sekadar membahagikan jawatan atau memberikan kerja dalam tempoh tertentu kepada seseorang untuk menikmati jawatan, kemudian digilirkan kepada seseorang yang lain untuk mengambil kesempatan juga.”

Pejabat Perdana Menteri, gambar hiasan

Cadangan untuk mengehadkan jawatan perdana menteri muncul kembali apabila dibangkitkan dalam kongres tahunan DAP semalam.

Setiausaha agungnya Anthony Loke membangkitkan cadangan itu sebagai antara reformasi yang belum ditunaikan.

Sementara itu, dalam tulisan panjangnya hari ini, Hadi terus memainkan sentimen melabelkan DAP sebagai menentang Islam secara terbuka.

Anthony Loke

Hadi mengemukakan pendirian itu dalam artikel bertajuk “Mengutamakan cadangan DAP membelakangi ketetapan Allah”.

Selain Hadi, beberapa pemimpin PAS memberikan reaksi berbaur perkauman berkaitan perkara itu. 

Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden antaranya melihat ia sebagai percubaan "minoriti" untuk menentukan hala tuju "majoriti" dengan merombak perlembagaan.

Anggota parlimen Bachok Syahir Sulaiman pula berkata topik itu boleh dibincang, tetapi dengan syarat jawatan perdana menteri dikhususkan untuk orang Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS