BN sedia timbang tambah kerusi PPP, kata PM

   

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Barisan Nasional (BN) bersedia menimbang permintaan Parti Progresif Rakyat Malaysia (PPP) untuk mendapatkan kerusi tambahan dalam pilihanraya akan datang.

PPP telah menghantar surat kepada Jawatankuasa Pengurusan BN meminta supaya parti itu, yang ditubuhkan 54 tahun lalu, diperuntukkan sekurang-kurangnya satu kerusi di setiap negeri.

Dalam pilihanraya umum lalu, PPP hanya mendapat satu kerusi Parlimen di Taiping (diwakili Presidennya, Datuk M Kayveas) dan satu kerusi DUN di Pasir Berdamar di Teluk Intan. Calon DUN itu bagaimanapun tewas kepada calon DAP.

PPP yang mempunyai 530,222 ahli, pernah memenangi empat kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebelum menyertai BN pada 1972.

Berucap merasmikan Perhimpunan Agung PPP di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata: "Tadi (presiden PPP) Datuk M.Kayveas ada cakap pasal pertambahan kerusi. Dia kata surat dah dihantar kepada Jawatankuasa Pengurusan Barisan Nasional dan saya kata kalau dah dihantar, kita akan timbangkan perkara itu."

Abdullah turut memuji PPP yang mengemukakan permintaan untuk kerusi tambahan itu kepada saluran yang betul, iaitu kepada jawatankuasa pengurusan BN, demikian menurut laporan Bernama.

"Itulah cara kita. Kita tak perlu timbulkan sebarang tekanan untuk apa-apa pun tuntutan kerana kita semua bersaudara," katanya.

Mesti muafakat

Beliau berkata parti komponen di bawah BN merupakan sebuah keluarga besar dan pertikaian di khalayak umum adalah sesuatu yang tidak baik.

"Kalau kita kelahi, orang tak suka tengok famili gaduh atau tak stabil dan kita mesti muafakat dan bekerjasama. Orang yang tentang kita semua ingin lihat kita berpecah belah," katanya.

Perdana Menteri turut mengulas pandangan yang dibangkitkan Kayveas dalam ucapannya bahawa aktiviti BN tidak harus difokuskan kepada tiga parti komponen utama BN sahaja iaitu Umno, MCA dan MIC.

"Saya tak setuju kerajaan BN untuk segelintir saja. Kalau itu pegangan kita, BN hari ini sudah lama lingkup dan kita akan kalah dalam pilihanraya," katanya.

Beliau berkata, kerajaan sekarang merupakan sebuah kerajaan yang dimajukan dan dijayakan oleh semua parti komponen BN yang dianggotai anak watan pelbagai kaum.

Menyentuh cadangan PPP yang mahukan caj perkhidmatan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan, beliau berkata: "Kalau perkara itu membawa kesusahan, saya bersedia untuk meneliti perkara itu."

PPP meminta kerajaan untuk memberikan pinjaman PTPTN tanpa sebarang caj perkhidmatan memandangkan PTPTN merupakan satu tabung pusingan.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In