Kesunyian awal pagi 16 Dis 2022 itu tiba-tiba dipecahkan oleh bunyi yang menggetarkan. Tanpa diduga, berlaku tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan popular di Batang Kali, Selangor.
Dalam sekelip mata kawasan percutian itu bertukar menjadi tapak tragedi ngeri yang tidak tergambarkan. Tiga puluh satu nyawa daripada 90 pengunjung tapak perkhemahan tersebut terkorban.
Tiga belas daripada korban tersebut ialah kanak-kanak.
Tahun lalu, sekumpulan 23 orang termasuk ahli keluarga mereka yang maut memfailkan saman terhadap kerajaan Selangor.

Kini sebuah laman sesawang baru – Batangkali31.com – dibangunkan sebagai penghormatan abadi kepada mereka yang terlibat dalam tragedi tersebut. Ia bukan sekadar peringatan bahkan bukti cinta, kehilangan, dan ketabahan.
Pada bahagian About, tertera mesej berbnyai dinyatakan bahawa mesej itu berbunyi: "Hati kami bersama mangsa dan keluarga mereka, yang kehidupan mereka telah berubah secara tidak dapat ditarik balik oleh bencana ini. Ketika mereka mengharungi kesedihan dan pemulihan, kami komited untuk menguatkan suara mereka dan mengekalkan ingatan orang yang mereka sayangi. Melalui akaun langsung dan kisah peribadi, kami berhasrat untuk menyerlahkan keperitan dan penghormatan kepada mereka yang terjejas."
Namun laman sesawang berkenaan bukan sekadar kenangan. Batangkali31.com juga berfungsi sebagai hab maklumat.
Dalam kategori Stories sejumlah cerita sangat mengharukan terungkap. Antaranya ialah kisah Ng Yu Chuan, seorang bapa yang kehilangan anak perempuan kesayangannya, Ng Yee Tong, 11.

Walaupun terpisah oleh kematian, Yu Chuan memastikan Yee Teong tetap ‘dekat’. Setiap Jumaat, si bapa menziarahi kubur anak perempuannya itu, berbual-bual, dan makan bersama.
Pada hari istimewa – Perayaan Pertengahan Musim Luruh dan Tahun Baru Cina, misalnya – dia sekeluarganya membawa tanglung dan bunga api.
Kemudian ada pula kisah Vincent Khor yang bukan saja kehilangan isteri, Chin Su King, 36, malah anak lelaki mereka, Daniel yang ketika itu berusia lima tahun. Kesedihan yang tertanggung memang terasa amat berat, lebih-lebih lagi pada waktu malam.
"Masuk tidur adalah masa yang paling sukar. Selama berminggu-minggu selepas dia dikebumikan, saya tidak dapat tidur – sehinggalah mimpi itu bermula.

"Yang pertama menunjukkan kepada saya apa yang berlaku kepada mereka. Kekalutan besar berlaku dan mereka tertimbus.
“Terdapat bunyi kuat seperti tembikai pecah di bawah tekanan berat yang luar biasa. Ia sangat bising tetapi tidak tahu apa yang berlaku. Mimpi itu begitu jelas. Saya dapat mengingatinya dengan jelas walaupun selepas saya terjaga.
"Mimpi itu berlaku selang seminggu.
“Kali kedua saya bermimpi isteri saya kembali dan berada di dalam tandas. Saya melihatnya dari belakang.

“Saya pergi untuk melihat sama ada dia cedera atau tidak. Ia sangat jelas. Kemudian kami berada di atas katil berpelukan tetapi saya tidak dapat berkata apa-apa.
“Dia menghiburkan saya dengan mengatakan kami bertuah kerana dapat bertemu, mempunyai keluarga dan bahagia.
"Dalam mimpi terakhir, isteri saya memberitahu bahawa dia membawa anak kami ke tempat yang jauh. Walaupun dia berkata jauh tetapi rasanya mereka keluar sebentar untuk membeli-belah atau menginap di hotel.
“Mereka akan pulang sebentar lagi dan kami akan bertemu semula. Selepas itu saya tersedar mendapati saya keseorangan semula,” tulisnya.
Batangkali31.com lebih daripada sekadar laman sesawang. Ia adalah ikrar bahawa nyawa yang terkorban tidak akan luntur dalam kekaburan.
