Ketua Polis Negara Razarudin Husain memberi amaran terhadap sebarang usaha untuk menghidupkan semula fahaman komunis.
Razarudin berkata fahaman itu bertentangan dengan prinsip Rukun Negara dan boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.
“Malaysia secara tegas telah menolak ideologi komunis sejak 1948 dan sebarang bentuk promosi atau glorifikasi terhadap fahaman ini boleh diklasifikasikan sebagai satu ancaman kepada ketenteraman awam dan perpaduan nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dia merujuk rakaman video berdurasi dua minit 57 saat berkenaan sebuah persatuan yang dikenali sebagai “‘Persatuan Promosi Penyatuan Secara Aman Satu China di Malaysia”.
Terdahulu, bekas Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim dilaporkan membuat laporan polis terhadap persatuan tersebut.
Memetik akhbar rasmi PAS Harakah Daily, Rais menggesa polis untuk menyiasat persatuan itu serta kegiatan mereka.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing membidas Rais dan berkata dia harus bergantung pada fakta dan bukannya video yang tidak disahkan untuk mengelakkan salah faham dan ketegangan yang tidak perlu.
Mengesahkan kesahihan kumpulan itu, Tan berkata ia adalah sebuah syarikat bukan berasaskan keuntungan yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan bagi tujuan mempromosikan persahabatan dan pertukaran budaya antara China dan Malaysia.
Razarudin berkata persatuan itu kini disasat di bawah Seksyen 41/43 Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Polis memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh sedang dijalankan terhadap pertubuhan yang disebut serta dakwaan-dakwaan berkaitan aktiviti tidak berdaftar, penggunaan simbol-simbol komunis dan unsur subversif,” katanya lagi.
Carian dalam talian menunjukkan bahawa persatuan tersebut mematuhi prinsip "satu China" dan mengambil bahagian secara aktif dalam usaha mempromosikan hubungan rentas selat yang aman antara China dan Taiwan sambil menentang campur tangan pihak ketiga.
Persatuan itu dilaporkan diketuai oleh ahli perniagaan Koo Yuen Kim.
Video yang dirujuk oleh Rais adalah ringkasan berbahasa Melayu berdasarkan video berbahasa Cina yang lebih panjang, kedua-duanya dihasilkan oleh pencipta kandungan dalam talian yang sama.
Dalam video asal yang diterbitkan pada 20 Mac, berdurasi 11 minit dan 31 saat, pencipta kandungan mempersoalkan sama ada kumpulan itu didaftarkan dengan betul dan jika mereka dibiayai oleh Parti Komunis China (PKC).
