Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Membina AI berteras ‘heartware’ dan transdisplinari

Kecerdasan buatan (AI) semakin menjadi pemacu utama perubahan global, menawarkan penyelesaian pantas, efisien, dan berasaskan data di dalam pelbagai aspek kehidupan, sama ada pekerjaan dan pendidikan. 

Masyarakat sudah tidak dapat lari dari kesan AI sama ada positif atau negatif. Namun, di tengah-tengah keghairahan ini, timbul satu persoalan - adakah Malaysia mengambil jalan yang tepat dalam menyikapi perkembangan dan penggunaan kecerdasan buatan ini? 

Malah, satu lagi persoalan yang lebih kritikal adalah bagaimanakah Malaysia boleh memastikan bahawa pembangunan AI di negara ini ditunjangi dengan nilai dan etika yang sewajarnya bersesuaian dengan masyarakat Malaysia yang Madani. 

Teknologi sudah pastinya semakin canggih tetapi ia menjadikan penggunanya semakin jauh dari nilai dan etika.  Kegusaran ini kalau hanya disuarakan tanpa tindakan susulan yang serius hanya akan menjadi seperti anjing menyalak bukit dan akhirnya akan mewujudkan normalisasi terhadap AI tanpa nilai. 

Ketika itu tiada lagi jalan undur apabila majoriti sudah menganggapnya sebagai norma dan keperluan asas. Parahnya nanti, siapa yang menentangnya akan kelihatan ketinggalan zaman. 

Malaysia, seperti juga negara-negara lain berlumba-lumba untuk menjuarai penguasaan ke atas AI. Antara buktinya boleh dilihat melalui keghairahan untuk menjadi pusat data serantau, walaupun terdapat pelbagai kebimbangan tentangnya terutama dari segi kelestarian seperti kesan kepada alam sekitar dan keselamatan data negara. 

Ketaksuban di dalam perlumbaan ini boleh dilihat jelas melalui tumpuan yang semakin intensif dan istimewa diberikan untuk menyediakan infrastruktur (hardware) dan perisian (software) bagi memastikan Malaysia menjadi rujukan sebagai pusat AI serantau. 

Pelaburan besar dibuat untuk memperkasakan sistem algoritma, data besar, dan teknologi automasi. Pasti ini tiada salahnya. 

AI kontang nilai

Namun, sejauh manakah kita juga serius dalam memastikan pembangunan ini disertai oleh “heartware”? Heartware merujuk kepada keupayaan memahami dan mengintegrasikan nilai, budaya, serta konteks tempatan dalam pembangunan dan aplikasi teknologi AI ini. 

Tidak dinafikan kebimbangan ini adalah suatu yang sudah amat sering disuarakan dari kepimpinan tertinggi, ahli akademik sehinggalah mak cik dan pak cik di kampung yang khuatir anak cucu yang pulang kek kampung tetapi semakin kerap bercakap dengan Alexa, Siri atau ChatGPT berbanding saudara sendiri.

Fenomena ini bukan salah teknologi dan pakar dalam bidangnya semata tetapi ia berlaku kerana proses pembinaan, penyebaran dan penggunaaannya terhasil dengan tidak mengambil kira secara serius pandangan bidang-bidang selain teknologi itu sendiri. 

Senario ini berlaku kerana ekosistem ilmu pengetahuan di Malaysia masih lagi sangat terpisah (fragmented). Struktur pendidikan dan proses pembinaan ilmu di Malaysia masih tertumpu pada pendekatan konvensional yang bersifat silo atau disiplin khusus, masih belum bersifat antara disiplin apatah lagi pelbagai disiplin. 

Di universiti, bidang kejuruteraan, teknologi maklumat, dan sains komputer cenderung berkembang secara terpisah daripada bidang seperti sains sosial, falsafah, atau etika. Pendekatan transdisiplinari – kepakaran pelbagai bidang digabungkan untuk memahami dan menyelesaikan isu yang kompleks – masih jauh dari menjadi norma. 

Sebagai contoh, pembinaan algoritma AI yang benar-benar bersifat inklusif dan sesuai dengan keperluan Malaysia memerlukan kefahaman mendalam tentang budaya, nilai tempatan, dan konteks sosial masyarakat majmuk kita. 

Namun, jika pembangunan algoritma hanya dipandu oleh logik matematik dan teknikal tanpa input daripada sains sosial atau kemanusiaan, ia berisiko mencipta penyelesaian yang tidak relevan atau bahkan meminggirkan golongan tertentu. 

Sebagai contoh, banyak seminar atau diskusi tentang AI hanya berpusat pada inovasi teknologi terkini, tetapi jarang membincangkan persoalan mendalam seperti: Apakah kesan AI terhadap hubungan sosial? 

Bagaimana AI dapat dimanfaatkan untuk menangani isu ketidaksamaan ekonomi di Malaysia? Bagaimana kita memastikan AI tidak digunakan untuk mengeksploitasi emosi pengguna atau menyebarkan maklumat palsu?

AI sentuhan ‘heartware’ 

Maka jelas AI yang diperlukan adalah yang sarat dengan nilai, etika dan kesesuaian setempat termasuklah faktor agama dan budaya. Tanpa heartware, pembangunan hardware dan software hanya akan mencipta teknologi yang “canggih tetapi kosong” – teknologi yang gagal memahami keperluan sebenar masyarakat. 

Sebagai contoh, algoritma AI mungkin boleh digunakan untuk mengesan pola penggunaannya dalam kalangan rakyat Malaysia, tetapi tanpa sensitiviti budaya, ia tidak akan memahami kepentingan nilai kekeluargaan dalam budaya Melayu atau keunikan interaksi sosial masyarakat Orang Asli misalnya. 

Adakah peranan AI sebegini suatu yang mustahil? Tidak. DeepSeek misalnya memberikan respons yang terhad dan berhati-hati apabila ditanya tentang isu-isu yang dianggap sensitif dengan sejarah negara China bagi menjaga kedaulatan negara. 

Ini memperlihatkan bahawa secanggih manapun teknologi, ia tetap boleh dipergunakan untuk memperkukuhkan identiti bangsa. Persoalannya hanyalah kita mahu atau tidak mahu, serius atau tidak serius sahaja dalam menjadikan ia agenda utama negara. 

Pembangunan AI tanpa heartware juga akan memperbesar cabaran ketidakadilan sosial. Di Malaysia, misalnya, AI boleh digunakan untuk menganalisis data ekonomi dan sosial, tetapi tanpa panduan nilai dan etika, ia berisiko memperkukuh ketidaksamaan sedia ada. 

Bayangkan algoritma yang meminggirkan golongan B40 atau masyarakat luar bandar kerana data mereka tidak mencukupi atau kurang relevan dalam sistem. Ini bukan sahaja tidak adil, tetapi juga bertentangan dengan prinsip inklusiviti yang Malaysia perjuangkan.

Pendekatan transdisplinari

Keupayaan menghadirkan ‘heartware’ dalam proses AI tidak akan berlaku tanpa pendekatan transdisplinari. Pendekatan transdisiplinari sangat penting dalam memastikan teknologi yang dibangunkan sesuai dengan konteks tempatan. 

Malaysia sebagai sebuah negara yang majmuk mempunyai pelbagai lapisan budaya, adat resam, dan nilai yang mempengaruhi tingkah laku masyarakat. Jika AI tidak dibangunkan berdasarkan pemahaman ini, ia berisiko mencipta teknologi yang terlalu asing atau bahkan bertentangan dengan norma masyarakat. 

Namun, pendekatan ini sukar untuk dicapai apabila proses pembinaan ilmu di Malaysia masih sangat berpusat pada hierarki disiplin ilmu yang kaku. Kita memerlukan sistem pendidikan yang lebih terbuka, di mana ahli teknologi, pakar sains sosial, dan pengamal budaya dapat duduk bersama untuk membangunkan teknologi yang bukan sahaja canggih tetapi juga relevan.

Sebagai contoh, dasar-dasar kerajaan seperti Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru kepada pembinaan masyarakat berteraskan nilai. Tetapi, nilai ini hanya dapat diterjemahkan ke dalam teknologi apabila wujud sinergi antara teknologi dan ilmu kemanusiaan. 

Dalam konteks AI, ini bermakna memahami keperluan manusia bukan sekadar melalui data, tetapi melalui analisis mendalam tentang emosi, budaya, dan norma sosial.

Hakikatnya, teknologi kecerdasan buatan, walau sehebat mana sekalipun, tidak akan mampu menandingi kecerdasan autentik manusia – akal dan fikiran yang dianugerahkan oleh Tuhan. AI mungkin boleh meniru kecerdasan manusia dalam aspek tertentu, tetapi ia tidak mempunyai kesedaran, empati, atau nilai moral.

Ia adalah alat yang bergantung sepenuhnya kepada arah panduan manusia. Makanya, sebagai sebuah negara yang kaya dengan budaya, nilai, dan sejarah, Malaysia harus menjadi contoh bagaimana AI boleh dimanfaatkan untuk kebaikan tanpa mengorbankan kemanusiaan. 

‘Hardware’ dan ‘software’ boleh dibangunkan, tetapi ‘heartware’ adalah jiwa kepada teknologi tersebut. Dan jiwa itu hanya dapat dilahirkan melalui kefahaman, kerjasama, dan keberanian untuk melihat ilmu secara holistik.


ZAINAL ABIDIN SANUSI ialah warga Pusat Sejahtera Untuk Kelestarian dan Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS