Malaysians Against Death Penalty and Torture (Madpet) menyeru pembebasan mereka yang ditahan reman.
Kumpulan penentang hukuman mati dan penderaan itu berkata pembebasan tahanan reman tidak akan menjejaskan siasatan berterusan dan mereka masih boleh didakwa di mahkamah.
"Jika Zamri (Vinoth) belum dibebaskan, Madpet menyeru Zamri dan lain-lain dalam tahanan reman dibebaskan, lebih-lebih lagi dengan kedatangan Hari Raya, dan pegawai penyiasat mungkin bercuti dan tidak tersedia untuk menjalankan siasatan yang memerlukan kehadiran peribadi suspek pada masa ini," kata Charles Hector dari Madpet.

Zamri, 41, ditahan di Kangar, Perlis pada 27 Mac bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dia disiasat susulan catatan Facebook mengenai pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur, atas dakwaan menghina agama dan mengganggu ketenteraman awam.
Dia bagaimanapun didakwa dibebaskan lebih awal “tak sampai 24 jam”.
Kontroversi bermula apabila tersebar berita mengenai rancangan merobohkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman untuk memberi laluan kepada sebuah masjid.
Sementara itu, Charles berkata tahanan reman jarang digunakan sebagai alat siasatan kerana ia boleh dianggap sebagai hukuman sebelum perbicaraan.
"Mengapa suspek yang didakwa perlu ditahan dalam jagaan polis untuk tujuan siasatan, mungkin terpaksa menghabiskan masa kebanyakan masa ditahan dalam lokap polis, yang keadaannya buruk, dan terdapat terlalu banyak kes dakwaan penyeksaan malah kematian dalam tahanan polis di Malaysia.
"Kami ingat bahawa ramai yang tidak direman, ataupun ditahan untuk tujuan siasatan, tetapi didakwa di mahkamah, dibicarakan dan malah disabitkan kesalahan seperti dalam kes bekas perdana menteri Najib Abdul Razak.
"Adakah siasatan tanpa tangkapan reman hanya untuk golongan elit dan kelas atasan?" katanya.
Tahanan reman hanya patut digunakan dalam situasi luar biasa seperti suspek yang berisiko melarikan diri dan mereka yang mungkin mengganggu bukti atau saksi, tambahnya.
Selain itu, dia menyeru penggubalan undang-undang yang memberikan pampasan kepada mereka yang ditangkap dan direman secara salah.
