ULASAN SUKAN | Sambil meraikan suasana gembira menyambut Aidilfitri hari ini, segala keringat dan pengorbanan atlet negara akan turut sentiasa berlegar dalam minda kita.
Pada saat-saat bermakna sebegini, biarlah mereka memanfaatkan masa sebanyak mungkin untuk bersama anggota keluarga masing-masing.
Ia dapat memberi segala ruang untuk melepaskan perasaan dan emosi. Ia juga menandakan rasa cinta kepada mereka yang tersayang, khasnya ibu bapa yang menjadi sumber inspirasi kejayaan setiap atlet.
Sebenarnya, setiap tahun kita dapat melihat bukan semua atlet yang dapat hadir bersama keluarga menyambut 1 Syawal disebabkan ada misi membawa nama negara beraksi di pentas antarabangsa.
Suasana sama juga berlaku ketika sambutan Tahun Baharu Cina, Deepavali atau pun Krismas.
Inilah dikatakan pengorbanan seorang atlet negara setiap tahun demi memburu kegemilangan untuk diri dan negara.
Namun, ini juga tidak bererti mereka akan terasa kesepian. Setiap Aidilfitri, lazimnya atlet atau pegawai akan mengadakan inisiatif mengatur majlis sambutan itu di mana juga mereka berada.
Atlet kita daripada kaum lain juga akan menyambut lebaran ini bersama-sama rakan sepasukan yang beragama Islam, jika tidak sempat pulang ke kampung halaman pada cuti perayaan.
Sedekad rai di perantauan
Sebaik-baiknya jadikanlah detik seperti ini sebagai hari untuk berkumpul dan bersama-sama menyambutnya sebagai satu ‘keluarga sukan’.
Biarlah sambutan Aidilfitri ini juga memberi suntikan semangat baru untuk menggapai emas yang sentiasa menjadi buruan mereka.
Ada kalangan kita (bukan ahli sukan) juga pernah terlepas menyambut perayaan masing-masing kerana tugasan. Jadi, mereka yang pernah mengalami suasana sama itu akan memahami perasaan seorang atlet yang terpaksa memerah keringat di medan pertarungan, menggalas misi negara.
Baru-baru ini, penulis tertarik membaca cerita pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, yang amat merindui detik sambutan Aidilfitri selepas 10 tahun meraikannya di perantauan.

Pemenang pingat emas acara keirin di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Konta, Turkiye, bulan ini amat lega apabila dapat merasai semula kemeriahan bersama keluarga tercinta.
Bayangkan sedekad lamanya tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama anggota keluarga di kampungnya di Muar, Johor. Shah Firdaus berkata betapa dia gembira kali ini dapat pulang ke kampungnya.
“Selalu tak beraya, bila dapat beraya macam pelik. Tapi keluarga semua gembira sebab sudah lama tak beraya bersama di rumah.
“Tak sabar nak rasa kuah lodeh, ayam masak merah, daging kari dan banyak lagi.
“Saya dah pergi bazar di Malaysia. Sekarang pasukan berbasikal tinggal di Nilai (Negeri Sembilan). Memang itu yang saya cari sebab 10 tahun tak rasa suasana bazar.
“Saya siap pusing dua hingga tiga kali dalam bazar sama sebab terlalu teruja sampai tak tahu nak beli apa, akhirnya beli semua benda,” katanya dalam satu sesi temu bual bersama Bernama tempoh hari.
Terlepas rai Tahun Baru Cina
Macam tersentuh perasaan juga membaca kata-kata diluahkan oleh atlet bergelar The Terminator Shah itu. Tetapi itulah namanya seorang atlet yang berjiwa sukan. Ini kerana gemilang akan hadir dengan pengorbanan besar.
Akhirnya, dapat juga dia menuai hasil yang amat membanggakan dalam kerjayanya.
Seperti Shah Firdaus, ada ramai atlet negara yang pernah mengalami nasib sama. Tapi, ketabahan dan kecekalan pada diri masing-masing membantu perjuangan pada saat-saat tidak dapat bersama keluarga tersayang.
Pemain beregu badminton wanita, M Thinaah, umpamanya, tidak dapat menyambut perayaan Deepavali selama tujuh tahun di rumah ibu bapanya di Klang atas sebab sama.
Cuma tahun lalu, dia dapat bersama keluarga kerana berada di Kula Lumpur tanpa ada sebarang pertandingan besar perlu disertai.
Sambutan baginya juga penuh bermakna kerana pada Ogos 2024, dia dan rakannya, Pearly Tan gah layak ke separuh akhir di Sukan Olimpik, Paris.
Mereka mencatat sejarah sebagai pasangan beregu wanita pertama negara mara ke kelompok empat terbaik.

Kita tidak pasti sama ada beregu lelaki negara seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik, jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia atau bekas penerjun wanita, Leong Mun Yee, umpamanya juga terlepas menyambut Tahun Baharu Cina sebelum ini.
Begitu juga bekas ratu skuasy negara, Nicol Ann David ketika sambutan Krismas pada era gemilangnya sebagai pemain pemain nombor satu dunia.
Apa pun, bagi atlet tersohor negara, elemen duka seperti ini tidak mungkin akan dapat mengusik minda.
Pada mereka tugasan digalas sebagai wakil negara di pentas dunia jauh lebih penting. Ringkasnya, segala pengorbanan itu pada setiap tahun adalah demi Jalur Gemilang.
Dalam saat-saat menyambut Syawal, pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou juga mencuri tumpuan apabila bermurah hati membantu mereka yang memerlukan pada hari bermakna ini.
Pemenang pingat Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan Paris 2024 itu difahamkan tampil menghulurkan bantuan kepada dua bekas atlet para negara, Hanapiah Mohamud (bekas atlet para badminton) dan Yahya Ahmad (bekas atlet berbasikal).
Setidak-tidaknya sumbangan itu dapat meringankan beban mereka serta rasa ceria di musim perayaan ini.
Kita sudah kerap kali mendengar kata-kata bahawa sukan adalah elemen perpaduan dan ia jelas amat benar, khasnya dalam suasana menyambut Aidilfitri kali ini.
V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
