Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerana politik, jongang pelajar telan kepahitan dibuli 6 tahun

Kenangan bermesra dengan rakan-rakan semasa di sekolah bukan lagi sesuatu yang menjadi milik seorang wanita muda dari Kedah walaupun dia memang menginginkan suasana begitu.

Bagi Siti Nur Haifaa' Umairah Abd Halim pengalamannya semasa bersekolah berbeza dan 'hitam'. Ketika dikenang, sukar untuk dia tersenyum.

Hal itu kerana ingatan yang masih kekal dalam kepalanya adalah suatu luka yang belum pulih sepenuhnya. Malah lebih pedih, ia berpunca daripada latar belakang keluarganya.

Menurut Siti Nur Haifaa', 23, kejadian itu berlaku antara 2009 hingga 2014 di sebuah sekolah rendah di daerah Kuala Muda, Kedah, apabila dia dibuli bukan kerana masalah disiplin atau peribadi.

Siti Nur Haifaa' dibuli kerana datang dari keluarga yang berbeza fahaman politik dengan pihak tertentu di sekolah tersebut.

“Bayangkan, cikgu saya sendiri yang mengejek keluarga saya depan murid-murid lain.

"Ada juga guru lain yang menghasut pelajar supaya memboikot atau tidak berkawan dengan saya hanya kerana latar belakang politik keluarga kami,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia turut berkongsi pengalaman mengenai bagaimana dia hilang keyakinan diri apabila sering dijadikan bahan ejekan. Lebih memburukkan keadaan, mereka mempersenda keadaan fizikalnya.

“Cikgu-cikgu pernah ejek saya bergigi jongang, pernah ketuk kepala saya walaupun saya tak tahu apa salah saya.

"Ada juga cikgu yang panggil saya bodoh di depan murid-murid lain,” ujarnya lagi.

Tak dapat buat apa-apa

Isu buli melibatkan pelajar sekali lagi menjadi perhatian ramai ekoran terbongkarnya insiden melibatkan sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pulau Pinang.

Dalam kejadian itu seorang pelajar dilihat dikasari dan dipermain-mainkan oleh beberapa pelajar lain.

Ia mengundang tindakan keras daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang mencadangkan agar semua tujuh pelajar yang terlibat disingkirkan dari MRSM.

Dua daripada mereka terlibat dalam buli fizikal manakala lima yang lain dianggap bersubahat.

Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki, malah enggan melayan sebarang cubaan jika ada pihak yang mahu merayu agar pelajar terbabit diberi peluang kedua.

Siti Nur Haifaa' berkata sikap ditunjukkan oleh sesetengah gurunya mendorong keadaan menjadi lebih serius apabila rakan-rakan sekelasnya semakin berani dan membuli secara terbuka.

Gambar hiasan

Katanya, dalam keadaan itu Siti Nur Haifaa' tidak dapat berbuat apa-apa kerana merasakan guru-gurunya sendiri tidak akan dapat menyokong atau membelanya.

“Disebabkan saya tiada back up (sokongan) daripada cikgu-cikgu, pelajar lain makin berani ejek, hina dan pulaukan saya.

"Sampai sekarang, kejadian kena pulau tu kadang-kadang masih masuk dalam mimpi walaupun tidaklah sekerap dulu,” katanya.

Rasa luka masih ada

Menurut Siti Nur Haifaa' lagi, dia pernah memaklumkan pengalaman buruk itu kepada ibu bapanya dan mereka kemudian berjumpa dengan pihak sekolah.

Jauh daripada apa yang diharapkan, pertemuan tersebut, dakwa Siti Nur Haifaa' malah memburukkan lagi keadaan. Guru terbabit, dakwa dia, semakin tidak suka kepadanya.

“Jadi, dalam keadaan begitu ibu bapa saya suruh saya bersabar saja,” kata yang juga anak kelima daripada enam beradik,

Menurut Siti Nur Haifaa', episod hitam itu tidak hanya terjadi pada dirinya saja, malah turut dialami oleh kakaknya yang belajar di sekolah sama.

Puncanya juga sama - melibatkan fahaman politik yang berbeza.

Trauma yang dialami itu, kata Siti Nur Haifaa', meninggalkan kesan sangat mendalam sehingga menimbulkan rasa benci dan mual setiap kali mahu menjejakkan kaki ke kawasan sekolah berkenaan.

“Walaupun saya cuba didik hati untuk hormat cikgu-cikgu sebab mereka pernah ajar saya, tapi rasa dendam tu masih ada. Luka mental ni bukan senang nak hilang,” ujarnya.

Ditanya mengapa dia tidak berpindah sekolah agar keadaan itu tidak dialami lagi, Siti Nur Haifaa' berkata, ada sebab yang tidak dapat dielakkan menghalang keluarganya membuat pilihan itu.

"Kalau saya pergi ke sekolah lain pun susah juga sebab lokasinya jauh, dan sudah tentu menyukarkan keluarga saya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS