Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes 1MDB: Ketua pengarah perlindungan saksi JPM tolak sepina Najib

BICARA 1MDB | Ketua Bahagian Perlindungan Saksi Jabatan Perdana Menteri (JPM) memohon untuk membatalkan sepina Najib Razak yang mengarahkan dia hadir memberi keterangan dalam perbicaraan bekas perdana menteri itu berhubung dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM2.27 bilion dana 1MDB.

Peguam Kanan Persekutuan, Nur Hidayah Raihan Md Nasir memaklumkan perkara itu kepada Mahkamah Tinggi di Putrajaya hari ini, berhubung permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng.

Sebelum ini, Ng — warganegara Malaysia — telah disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara di Amerika Syarikat (AS) kerana peranannya dalam penyelewengan dana 1MDB.

Namun, pada akhir tahun lalu, dia telah diekstradisi ke Malaysia bagi membantu siasatan jenayah berkaitan skandal dana kekayaan negara itu.

Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng.

Nur Hidayah memaklumkan kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah, bahawa sepina yang dikeluarkan semalam terhadap ketua pengarah (KP) bahagian perlindungan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) wajar diketepikan kerana beliau terikat di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009, yang melarangnya mendedahkan sebarang maklumat berkaitan unit perlindungan saksi.

"Berdasarkan perbualan telefon dengan pasukan pembelaan semalam, saya difahamkan mereka ingin bertanyakan kepada ketua pengarah (KP) tentang Roger Ng.

"Namun, saya percaya perlu ada permohonan rasmi untuk mengenepikan sepina itu kerana KP terikat dengan undang-undang kerahsiaan di bawah Akta Perlindungan Saksi yang menghalang beliau daripada mendedahkan sebarang maklumat tentang program atau kebajikan peserta program perlindungan saksi.

"Jika KP dipanggil memberi keterangan mengenai Roger Ng atau mana-mana individu, beliau tidak boleh berbuat demikian kerana terikat dengan undang-undang," katanya.

Nur Hidayah turut memohon tempoh masa untuk menyediakan permohonan bertulis rasmi bagi mengetepikan sepina berkenaan.

Hakim Sequerah membenarkan permohonan itu dan mengarahkan agar permohonan bertulis difailkan ke mahkamah serta diserahkan kepada pasukan pembelaan Najib selewat-lewatnya tengah hari Jumaat minggu ini.

Mahkamah akan mendengar permohonan tersebut pada Selasa akan datang.

Temubual Roger Ng bantu bebas Najib

Pada 9 Disember tahun lalu, ketua peguam bela, Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menemubual Roger Ng bagi membantu membebaskan Najib daripada pertuduhan.

Pada Mac 2023, mahkamah jenayah di AS menjatuhi hukuman 10 tahun penjara terhadap Ng atas penglibatannya dalam penyelewengan dana 1MDB.

Dalam keterangannya semasa pembelaan, Najib mendakwa kerajaan AS sebelum ini menghalang usahanya mendapatkan bukti berkaitan 1MDB daripada mahkamah AS.

Tertuduh juga mendakwa Ng telah memaklumkan kepada mahkamah AS bahawa wujud bukti yang boleh membebaskannya daripada tanggungjawab jenayah dalam skandal 1MDB.

Ketua peguam bela, Muhammad Shafee Abdullah.

Pada 30 Oktober tahun lalu, mahkamah jenayah memerintahkan Najib untuk membela diri terhadap empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.27 bilion.

Hakim Sequerah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib berdasarkan kekuatan lebih 50 keterangan saksi.

Antara saksi pendakwaan ialah bekas pegawai kanan pengurusan 1MDB seperti Shahrol Azral Ibrahim Halmi (bekas CEO), Azmi Tahir (bekas ketua pegawai kewangan) dan Jasmine Loo (bekas penasihat undang-undang).

Antara awal Disember tahun lalu hingga hujung Januari tahun ini, Najib menghabiskan 26 hari di kandang saksi untuk cuba menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bekas perdana menteri menegaskan dirinya tidak tahu-menahu dan tidak terlibat dalam sebarang salah laku di 1MDB, sebaliknya mendakwa penyelewengan tersebut dirancang sepenuhnya oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low) bersama-sama pihak pengurusan dana tersebut.

Najib juga menggunakan hujah dia telah dijanjikan derma oleh Almarhum Raja Abdullah dari Arab Saudi semasa pertemuan di Riyadh pada tahun 2010.

Sejak Ogos 2022, Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah (CBT), dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana daripada SRC International, sebuah bekas anak syarikat 1MDB yang kemudiannya dimiliki sepenuhnya oleh MoF Inc.

Awal tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengumumkan hukuman asal Najib dalam kes SRC — 12 tahun penjara dan denda RM210 juta — dikurangkan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS