Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan teruskan reformasi pelantikan hakim - PM
Diterbitkan:  Apr 9, 2025 6:53 PM
Dikemaskini: 10:54 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata usaha pentadbirannya untuk reformasi pelantikan kehakiman akan diteruskan meski ketika ini terdapat cabaran undang-undang terhadap kesahan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) 2009.

Dia berkata demikian selepas peguam Syed Amir Syakib Arsalan Syed Ibrahim memfailkan semakan kehakiman dengan alasan Akta SPK adalah bercanggah dengan perlembagaan.

Anwar berkata, kerajaan mempertahankan kesahan akta itu, namun menghormati proses undang-undang dan tidak akan campur tangan berhubung permohonan semakan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak boleh mengabaikan kebimbangan berhubung akta itu yang telah dibangkitkan sekian lama.

"Persoalan ini bukan sesuatu yang boleh diketepikan dan ia menuntut penelitian serius dari sudut dan lensa undang-undang, institusi dan Perlembagaan.

"Sehubungan itu, sementara kerajaan akan mempertahankan kesahan Akta SPK di mahkamah, saya menzahirkan komitmen reformasi kerajaan Madani untuk meneliti semula secara menyeluruh kerangka kerja SPK, selaras dengan semangat pembaharuan institusi.

"Kajian semula ini akan melibatkan rundingan bersama pihak berkepentingan termasuk institusi kehakiman, Majlis Raja-Raja, Majlis Peguam dan pertubuhan masyarakat madani (NGO), dengan matlamat memperbaiki sebarang kelompongan dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap integriti sistem keadilan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Sebarang reformasi yang dibawa kelak akan menyemangati prinsip Perlembagaan, yakni memelihara doktrin pengasingan kuasa, menjunjung sistem Raja Berperlembagaan dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

"Hanya dengan asas yang kukuh ini, kita dapat memastikan kestabilan jangka panjang dan sistem demokrasi negara kekal terjamin," tambahnya.

Dia berkata kebimbangan telah dibangkitkan mengenai struktur, komposisi dan pengaruh SPK ke atas pelantikan kehakiman.

Awal hari ini, The Edge melaporkan bahawa Syed Amir sedang memohon pengisytiharan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa kuasa yang diberikan kepada SPK bertentangan dengan perlembagaan, khususnya Perkara 122B, yang menggariskan proses untuk melantik hakim ke Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Dia dilaporkan berhujah bahawa Akta SPK mengganggu proses perlembagaan dan kebebasan kehakiman dengan membenarkan perdana menteri dan pegawai kerajaan mempengaruhi pelantikan kehakiman, yang bertentangan dengan piawaian antarabangsa bagi badan kehakiman bebas.

Dia juga memohon perintah mahkamah untuk memaksa perdana menteri dan kerajaan mengikuti proses pelantikan kehakiman yang betul, tanpa campur tangan daripada SPK.

Sementara menunggu penyelesaian kes itu, dia menggesa mahkamah membenarkan penangguhan sementara bagi semua pelantikan kehakiman yang dibuat di bawah Akta SPK 2009, sehingga mahkamah menyelesaikan sepenuhnya isu itu.

Cabaran undang-undang itu hadir ketika Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dijadualkan bersara pada Jun.

Dalam ucapannya pada pembukaan Tahun Undang-undang 2025, dia melahirkan keyakinan bahawa Anwar akan terus menegakkan kebebasan kehakiman dan memetik ucapan Anwar di Dewan Rakyat pada 2009, sebagai ketua pembangkang, untuk membantah Akta SPK.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS