Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM tunggu analisis forensik video skandal Sabah, jamin tak tutup kes
Diterbitkan:  Apr 10, 2025 12:36 PM
Dikemaskini: 4:45 AM

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata suruhanjaya itu masih menunggu laporan analisis forensik ke atas 10 video membabitkan Adun Sabah yang diserahkan pada 11 Mac lalu.

Azam juga menegaskan dakwaan rasuah membabitkan Adun terbabit bukanlah perkara yang boleh diselindungkan dan pihaknya masih menjalankan siasatan.

"Saya dah beritahu sebelum ini, ada dua kertas siasatan dibuka iaitu terhadap Albert (pemberi maklumat) dan bekas ketua pegawai eksekutif Sabah Mineral Management (SMM) (Jontih Enggihon) dan membabitkan lapan Adun itu serta video itu.

"Jadi semua pihak perlu faham dan saya dah jelas banyak kali.., jadi saya harap semua kena bersabarlah.

"Dalam kita menjalankan siasatan ini, kita tidak 'fully guided' (ikut telunjuk) kita bukan ikut cakap public opinion (pendapat awam) sebaliknya ada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi,” katanya dipetik Berita Harian dalam tembual bersama Radio SabahFM di Kota Kinabalu.

Mengenai video itu, Azam berkata durasinya mungkin lebih panjang berbanding video yang disiarkan oleh Malaysiakini.

"Saya sedang menunggu laporan analisa itu kerana ia membabitkan 10 video dan tidak pasti durasinya dan mungkin lebih panjang daripada video sebelum ini.

"Bagaimanapun seperti saya tegaskan sebelum ini walaupun keputusan laporan belum diperoleh, semua yang terlibat kita sudah panggil dan menayangkan video itu untuk mendapatkan pengesahan, cuma siasatan itu tidak boleh saya dedahkan lagi hasilnya," tambahnya.

‘Video banyak disunting’

Azam juga sekali lagi mengatakan video yang diterbitkan Malaysiakini sejak November tahun lalu tidak boleh digunakan kerana ia telah disunting.

Katanya, apabila lapan video disiarkan portal berita tersebut, pihaknya menghantar video berkenaan kepada Makmal Forensik SPRM yang mempunyai pengiktirafan Jabatan Standard Malaysia dan dikendalikan oleh pakar.

Menurutnya dripada analisa yang dibuat, hasil laporan menunjukkan video terbabit adalah tidak tulen dan banyak berlaku suntingan.

"Pegawai makmal forensik memaklumkan berlaku banyak pecahan pada 'frame' video itu menunjukkan berlaku suntingan.

"Dalam kita menjalankan siasatan kita mengambil kira perkara ini, maka ia tidak boleh digunakan sebagai keterangan menyebabkan tiada sebarang pengesahan dan tidak tahu siapa yang benar, sama ada Albert Tei (pemberi maklumat) atau Adun," tambahnya.

Bukti mesej WhatsApp

Selain daripada rakaman itu, pemberi maklumat juga mendedahkan banyak mesej WhatssApp mengenai perbualannya yang didakwa membabitkan Adun berkenaan.

Albert sebelum ini mendakwa Adun terbabit menerima rasuah daripadanya sebagai balasan mendapatkan lesen perlombongan mineral di Sabah.

Bulan lalu, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, Lawyers for Liberty, yang diasaskannya bersama, akan menyerahkan video asal kepada suruhanjaya itu.

Ini selepas pemberi maklumat itu mengeluarkan satu lagi video dan tangkap layar mesej Whatsapp, membabitkan speaker DUN Sabah, Kadzim Yahya.

Berikutan itu, Albert dipanggil untuk disoal siasat selama dua hari, dengan sesi kedua pada 13 Mac berlangsung selama 11 jam.

Peguam ahli perniagaan berusia 36 tahun itu, Mahajoth Singh berkata Albert memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dan bukti yang mencukupi telah disediakan dengan keterangan hampir 50 muka surat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS