Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelantan diarah bayar tuntutan syarikat iklan RM1.2 juta

Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan tuntutan sebanyak RM1.2 juta oleh syarikat Laduni Services Sdn Bhd terhadap kerajaan Kelantan dalam prosiding yang berlangsung, baru-baru ini.

Keputusan itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak tuntutan balas kerajaan Kelantan sebanyak RM400,000 terhadap syarikat pengiklanan itu.

Keputusan sebulat suara itu diputuskan panel tiga hakim terdiri daripada NP Ravinthran, Azhahari Kamal Ramli dan Ahmad Kamal Md Shahid pada 17 Mac lalu.

Kes itu membabitkan pertikaian mengenai perjanjian perkhidmatan pengiklanan dalam pesawat dan livery pesawat.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi memihak kepada kerajaan Kelantan dengan alasan bahawa perjanjian tersebut telah terbatal akibat doktrin kekecewaan di bawah Seksyen 57(2) Akta Kontrak 1950 berikutan kesan pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Namun, Mahkamah Rayuan mendapati bahawa kontrak tersebut tidak terbatal, kerana semua kewajipan di bawah perjanjian telah disempurnakan sebelum PKP dikuatkuasakan.

Selain itu Mahkamah Rayuan turut memerintahkan kerajaan Kelantan untuk membayar kos guaman sebanyak RM30,000 kepada Laduni Services Sdn Bhd.

Untuk rekod, kerajaan negeri masih berpeluang membawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan.

Syarikat itu diwakili peguam Raja Saidatul Akhma Raja Lope dan Nurul Fatihah Mohamad Arof, manakala kerajaan Kelantan diwakili Adam Mohamed dari pejabat penasihat undang-undang Negeri Kelantan.

Sementara itu Laduni Services Sdn Bhd dalam kenyataannya menyambut baik keputusan ini sebagai kemenangan dalam menegakan keutuhan kontrak dan kepastian perniagaan di Malaysia.

"Keputusan ini mengesahkan kepentingan untuk menghormati komitmen kontrak dan memastikan perniagaan yang terjejas akibat gangguan sementara tidak dihukum secara tidak adil," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS