Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Didakwa berlembut, sekolah kata pelajar jual gambar lucah sudah dibuang
Diterbitkan:  Apr 10, 2025 6:13 PM
Dikemaskini: 10:24 AM

Sekolah Menengah Persendirian Foon Yew di Kulai, Johor mendapat kecaman orang ramai berikutan cara menangani insiden pelajar menyebarkan gambar suntingan berunsur lucah melibatkan pelajar lain dan bekas pelajar sekolah itu.

Susulan itu, lembaga pengarah sekolah itu menjelaskan bahawa salah seorang pelajar yang menjadi dalang dalam insiden berkenaan telah dibuang sekolah dan bukannya sekadar diberikan teguran ringan seperti yang didakwa segelintir pihak di media sosial.

Bagaimanapun, mereka mengakui pihak sekolah gagal bertindak pantas dalam menangani perkara berkenaan yang akhirnya mencetuskan kebimbangan orang ramai.

"Kami telah mengarahkan pihak sekolah untuk menjadikan perkara ini sebagai satu pengajaran penting," kata lembaga itu dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah mereka, ibu bapa pelajar berkenaan telah dimaklumkan mengenai tindakan buang sekolah itu.

Lembaga pengarah sekolah itu turut berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada mangsa dan keluarga mereka, termasuk menyediakan sesi kaunseling psikologi melalui kaunselor sekolah dan pakar psikologi profesional.

"Kami juga akan memastikan identiti mangsa dirahsiakan sepenuhnya dan menyediakan bantuan guaman jika perlu," kata kenyataan itu lagi.

Susulan dakwaan pengguna media sosial terhadap seorang guru disiplin sekolah itu, lembaga pengarah berkata siasatan dalaman mendapati tuduhan tersebut tidak berasas dan telah diputarbelitkan.

"Kami bertanggungjawab untuk melindungi keselamatan dan kesejahteraan pelajar kami, di samping menjaga maruah para guru.

"Kami juga berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang memfitnah atau membuli guru dan pelajar sekolah ini," kata mereka.

Lembaga pengarah sekolah itu turut memaklumkan bahawa mereka sedang bekerjasama sepenuhnya dengan pihak polis dalam siasatan yang sedang dijalankan, termasuk usaha mengesan akaun dalam talian yang menggunakan nama "Li Xiaobai", yang didakwa mengganggu bekas pelajar dan menyebarkan gambar suntingan yang berunsur lucah.

Mengulas lanjut, lembaga pengarah sekolah itu berkata mereka akan bekerjasama rapat dengan pihak pentadbiran sekolah memperbaiki prosedur dalaman dalam mengendalikan kes-kes sensitif.

Mereka juga sedang merancang untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga sekolah mengenai keselamatan digital, pendidikan undang-undang, pendidikan seks, dan inisiatif antikeganasan.

Mereka menyorot bahawa sekolah itu mempunyai sejarah panjang dan pelbagai cabaran sebagai sekolah menengah persendirian Cina, dan mereka terbuka menerima maklum balas membina.

Sebelum ini, seorang pelajar perempuan mendakwa di media sosial bahawa dua rakan sekolah lelakinya telah menggunakan teknologi suntingan gambar untuk memalsukan gambar lucah dirinya, yang kemudian disebarkan dalam kumpulan sembang dan media sosial untuk mendapatkan keuntungan.

Beberapa mangsa mendakwa di media sosial bahawa sekolah itu hanya memberi teguran ringan kepada salah seorang pelaku dan mengarahkannya memadam hantaran tersebut.

Pihak polis kemudiannya menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes ini. Remaja itu telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan. Sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan gambar berkenaan turut dirampas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS