Sebuah NGO berpangkalan di Sabah mengkritik Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki atas kelewatan agensi itu menyiasat skandal rasuah yang melibatkan pemimpin tertinggi negeri.
Ini susulan kenyataan Azam yang meminta orang ramai agar bersabar berhubung siasatan tersebut.
“Apabila Azam meminta kami bersabar, ia memberi gambaran bahawa beliau gagal menjalankan tugasnya. Malah alasan yang diberikan juga tidak masuk akal.
“Mengapa siasatan mengambil masa begitu lama? Sudah enam bulan sejak pendedahan dibuat, dan bukti yang jelas telah dikemukakan,” kata Presiden NGO Sabah Entitlement and Equity Now, Duncan Cheng pada kenyataan hari ini.

Terdahulu hari ini, Azam berkata pasukannya sedang menunggu laporan analisis forensik berhubung video skandal Sabah yang dihantar pada 11 Mac.
Tegasnya dakwaan rasuah yang melibatkan beberapa Adun tidak boleh disembunyikan dan siasatan sedang dijalankan.
"Saya dah beritahu sebelum ini, ada dua kertas siasatan dibuka iaitu terhadap Albert dan bekas ketua pegawai eksekutif Sabah Mineral Management (SMM) dan membabitkan lapan Adun itu serta video itu.
"Jadi semua pihak perlu faham dan saya dah jelas banyak kali.., jadi saya harap semua kena bersabar lah.
"Dalam kita menjalankan siasatan ini, kita tidak 'fully guided' (ikut telunjuk) kita bukan ikut cakap public opinion (pendapat awam) sebaliknya ada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi," kata Azam lagi.
‘Skandal kedua terbesar selepas 1MDB’
Tidak berpuas hati, Cheng mengingatkan Azam dakwaan rasuah terhadap para Adun itu merupakan skandal terbesar yang pernah berlaku di Sabah dan ia turut mengaitkan Speaker Dewan Undangan Negeri.
Dakwanya, kes ini mendedahkan kelemahan ketara dalam pentadbiran Sabah yang dipimpin oleh Ketua Menteri Hajiji Noor.
“Menurut Latheefa Koya, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM sebelum Azam, skandal ini ialah yang kedua terbesar selepas 1MDB.
“Beliau juga menyebut bahawa ia bukan soal jumlah wang semata-mata, tetapi jumlah wakil rakyat yang terlibat – sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia,” katanya.
Memandangkan skandal ini memberi kesan kepada rakyat Sabah dan kepercayaan terhadap pemimpin tempatan, Cheng menggesa isu ini dibahaskan pada sidang Dewan Undangan Negeri Sabah yang dijangka bersidang minggu depan.
“Kami juga mendesak agar SPRM segera mengumumkan hasil siasatan mereka. Rakyat Sabah berhak tahu apakah tindakan seterusnya terhadap individu yang didakwa terlibat,” tambahnya.
