Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penumpang suspek jenayah: KDN digesa kaji semula SOP siasat pemandu e-hailing
Diterbitkan:  Apr 10, 2025 10:41 PM
Dikemaskini: 2:41 PM

Seorang ahli majlis Petaling Jaya menggesa kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengkaji semula prosedur polis dalam menyiasat pemandu e-hailing yang membawa penumpang yang merupakan suspek jenayah tanpa pengetahuan mereka.

Ng Yih Miin juga menggesa syarikat e-hailing menubuhkan unit khas untuk menyediakan perkhidmatan undang-undang segera sepanjang masa kepada pemandu yang menghadapi tangkapan polis atau isu undang-undang lain.

Dia berkata ini berikutan penahanan seorang pemandu Grab baru-baru ini yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan jenayah penumpangnya yang disyaki mencuri mercun di Subang, Selangor.

“Kes ini juga membongkar satu isu yang lebih besar. Saya telah dimaklumkan bahawa kejadian sebegini bukan yang pertama, malah sudah banyak pemandu e-hailing yang berdepan dengan penahanan dan layanan yang serupa.

"Ini amat membimbangkan. Pihak polis seharusnya lebih berwaspada dan adil dalam menggunakan kuasa mereka agar tidak menjadikan rakyat sebagai mangsa keadaan," kata Ng yang juga pengarah strategi Pemuda PKR dalam satu kenyataan.

Ng, yang merupakan peguam, berkata dia telah menerima panggilan pada malam 8 April, meminta bantuan guamannya dalam perkara itu. Pemandu itu ditahan lebih awal pada pukul 10 malam pada hari yang sama.

Keesokan harinya, Ng mewakili pemandu itu di Mahkamah Majistret Shah Alam untuk prosiding permohonan reman.

Katanya, dia terkejut polis meminta reman enam hari tetapi hasil hujah Ng menyaksikan tempoh reman dikurangkan kepada dua hari.

Pemandu itu dibebaskan pagi ini, tambahnya.

"Persoalannya, mengapa masih wujud keperluan untuk menahan dan memohon reman yang hampir maksimum terhadap individu yang jelas tidak bersalah? Tindakan ini tidak wajar dan boleh dianggap sebagai satu bentuk penindasanterhadap rakyat biasa.

"Walaupun pihak polis mempunyai budibicara untuk memohon reman, ia sepatutnya digunakan secara berhemah dan berdasarkan keperluan siasatan sebenar — bukan secara melulu,” katanya.

Dia berkata, nasib pemandu itu sungguh tragis, kerana ibunya yang berusia 90 tahun ditinggalkan keseorangan di rumah sepanjang hari.

"Keluarga langsung tidak tahu mengenai penahanan beliau sehingga keesokan harinya.

"Situasi ini amat menyayat hati dan menimbulkan persoalan tentang prosedur pemakluman dan hak-hak tahanan," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS