Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiga tahun dipulau rakan sekelas hanya kerana inai rambut

Ramai dalam kalangan kita pastinya menyimpan banyak kenangan gelak ketawa dan bermesra bersama kawan-kawan ketika bergelar pelajar. Namun itu bukan jalan hidup yang dirasai seorang wanita muda dari Selangor.

Bagi Nur Sarah (bukan nama sebenar), dia sentiasa mengimpikan pengalaman itu namun apa yang dapat dikongsinya hanyalah pengalaman hitam apabila menjadi mangsa buli mental hanya kerana menginai rambutnya, kira-kira sedekad lalu.

Menurut wanita berusia 24 tahun itu, segalanya bermula apabila dia masuk ke sebuah sekolah asrama di Negeri Sembilan. 

Tidak sampai seminggu di sana, dia yang ketika itu di tingkatan satu menjadi mangsa buli oleh pelajar senior hanya kerana menginai rambutnya.

Malah, Nur Sarah berkata rambutnya pernah digunting oleh pelajar senior.

“Mak saya kemudian pergi jumpa guru kaunseling dan dia diberitahu yang sekolah itu memang menempatkan pelajar bermasalah. 

“Akhirnya, saya kembali semula ke sekolah lama namun dimasukkan ke dalam Kelas Aliran Agama (KAA) atas permintaan ibu,” katanya kepada Malaysiakini.

Namun ditempatkan di kelas KAA tidak seindah yang disangka Nur Sarah. Pada mulanya, semuanya berjalan seperti biasa sehinggalah ada rakan sekelas yang mendapat tahu tentang sebab dia kembali ke sekolah itu.

Menurut Nur Sarah, rakan-rakan kelasnya menganggap tindakan menginai rambut sama seperti mewarnakannya, justeru merasakannya sebagai haram.

Tanggapan itu membuatkan dia mula dipandang sinis dan dipulaukan mereka, kata Nur Sarah.

“Sejak itu, semua pelajar perempuan di kelas langsung tidak mahu bercakap dengan saya. Mereka pulau dan abaikan saya seolah-olah saya tidak wujud.

“Saya tidak pernah dibuli secara fizikal tetapi mental saya hancur. 

“Setiap hari saya menangis selepas pulang dari sekolah dan juga di tandas sekolah kerana tidak sanggup hadapi hari persekolahan,” luahnya.

Walaupun kurang mendapat perhatian berbanding buli fizikal, bentuk buli yang mengakibatkan gangguan mental kian dipandang serius, terutama di zaman media sosial ini.

Isu buli di sekolah kembali menjadi perhatian ramai ekoran terbongkarnya insiden melibatkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Nibong Tebal di Pulau Pinang.

Dalam kejadian itu seorang pelajar dilihat dikasari dan dipermain-mainkan oleh beberapa pelajar lain.

Dua daripada mereka terlibat dalam buli fizikal manakala lima yang lain dianggap bersubahat.

Ia mengundang tindakan keras daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang mencadangkan agar semua tujuh pelajar yang terlibat disingkirkan dari MRSM.

Membekas sehingga hari ini

Kata Nur Sarah lagi, buli terhadapnya itu berlarutan hampir tiga tahun, iaitu sehingga dia di tingkatan tiga.

Katanya lagi, dia pernah memohon agar dipindahkan kelas namun ditolak atas sebab aliran yang berbeza.

Namun di akhir tingkatan tiga, dia dipertemukan dengan rakan-rakan yang benar-benar ikhlas berkawan dengannya.

“Allah hadirkan sahabat yang sangat baik. Mereka terima saya seadanya dan hingga kini kami masih berkawan rapat,” katanya lagi.

Meskipun begitu, trauma dibuli masih menghantui dirinya sehingga ke hari ini, 

Nur Sarah berkata rasa sedih membekas kuat dalam diri dan dia masih tidak mampu bertentang mata dengan bekas rakan sekelas jika bertembung di majlis atau kenduri.

“Hanya kerana inai rambut, saya dibenci sebegitu rupa oleh pelajar-pelajar agama dan bijak pandai. Sampai sekarang, saya masih belum mampu melupakan pengalaman itu. 

“Orang nampak saya seperti biasa, tapi hanya Allah yang tahu apa yang saya rasa,” katanya penuh sayu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS