Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semakan akta pelantikan hakim ke arah reformasi kehakiman - Bersih
Diterbitkan:  Apr 11, 2025 4:09 PM
Dikemaskini: 8:11 AM

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyifatkan semakan kehakiman yang difailkan oleh peguam Syed Amir Syakib Arsalan Syed Ibrahim terhadap Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) sebagai proses untuk membuka lembaran baru ke arah pelaksanaan reformasi kehakiman.

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam kenyataannya berkata, pihaknya turut menyambut baik jaminan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk tidak mencampuri urusan kes tersebut dan memberi kebebasan sepenuhnya kepada mahkamah bagi membuat keputusan.

“Ini termasuk jaminan kerajaan untuk meneliti semula secara menyeluruh kerangka Akta SPK ini menerusi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk NGO.

“Bersih ingin menegaskan sebarang kelompongan yang wujud khususnya dalam isu melibatkan proses pelantikan hakim harus diperbaiki segera agar dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap prinsip tatakelola yang baik dan proses semak dan imbang yang berkesan negara,” kata Bersih dalam kenyataan media, hari ini.

Syed Amir memohon pengisytiharan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa kuasa yang diberikan kepada SPK bertentangan dengan perlembagaan, khususnya Perkara 122B, yang menggariskan proses untuk melantik hakim ke Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Dia dilaporkan berhujah bahawa Akta SPK mengganggu proses perlembagaan dan kebebasan kehakiman dengan membenarkan perdana menteri dan pegawai kerajaan mempengaruhi pelantikan kehakiman, yang bertentangan dengan piawaian antarabangsa bagi badan kehakiman bebas.

Dia juga memohon perintah mahkamah untuk memaksa perdana menteri dan kerajaan mengikuti proses pelantikan kehakiman yang betul tanpa campur tangan daripada SPK.

Sementara menunggu penyelesaian kes, Syed Amir menggesa mahkamah membenarkan penangguhan sementara bagi semua pelantikan kehakiman yang dibuat di bawah Akta SPK 2009 sehingga mahkamah menyelesaikan sepenuhnya isu itu.

Cabaran undang-undang itu hadir ketika Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dijadualkan bersara pada Jun.

Anwar kemudiannya menegaskan usaha pentadbirannya untuk reformasi pelantikan kehakiman akan diteruskan meskipun ketika ini terdapat cabaran undang-undang terhadap kesahan Akta SPK 2009.

Bersih berkata, pihaknya telah mengeluarkan satu kertas kajian yang memberikan cadangan komprehensif untuk memastikan cabang kehakiman menjadi lebih bebas.

Antara cadangan utama Bersih aialah agar SPK dijadiakan sbeuah badan berperlembagaan setaraf dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan proses pelantikan ahlinya dijalankan secara bebas dan tidak tertakluk kepada budi bicara Perdana Menteri.

“Cadangan ini turut disuarakan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun. Bersih juga mencadangkan agar anggota masyarakat sivil yang berkelayakan dalam isu perundangan untuk menganggotai SPK agar turut mendapat pandangan daripada pertubuhan masyarakat sivil.

“Bersih juga menegaskan bahawa usaha berterusan wajib dilakukan oleh pihak pemerintah bagi memelihara doktrin pengasingan kuasa agar kita tidak lagi mengulangi peristiwa hitam krisis kehakiman yang membawa kepada krisis Perlembagaan suatu ketika dahulu,” tambah Bersih lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS