Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda BN tak layan budak 'kememeh', kata Akmal
Diterbitkan:  Apr 12, 2025 8:31 AM
Dikemaskini: 12:31 AM

Pemuda BN tidak akan melayan "budak kememeh" yang merajuk kerana tidak berpuas hati dengan pemilihan calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Ketua Pemuda BN, Dr Akmal Saleh berkata walaupun kecewa kerana BN tidak meletakkan calon muda, perasaan itu tidak sepatutnya berlarutan sehingga menjejaskan perjuangan mereka.

"Boleh rasa kecewa, tak ada masalah, kita manusia kita ada hati dan perasaan.

"Tak jadi alasan untuk patah semangat.

"Marah cukup setakat malam ini. Kita ada agenda yang lebih besar. Bukan sahaja kemenangan calon, tapi kemenangan kita sebagai orang parti BN.

"Kalau dulu tak dapat calon dia, dia boikot," katanya ketika berucap dalam program Pemuda BN di Tapah, Perak malam tadi.

Akmal turut meminta mana-mana ahli Pemuda BN yang masih tidak berpuas hati dengan pemilihan calon supaya bersemuka dengannya. Malah, secara berseloroh, Ketua Pemuda Umno itu mengugut mahu 'sunatkan' mereka.

"Saya ni senang, orang jelas, siapa yang merajuk tolong jumpa, aku sunatkan kau sekali," katanya disambut sorakan hadirin.

"Kalau nak merajuk, jangan duduk dalam pemuda BN, pemuda BN bukan untuk budak kememeh. Aku tak layan kau nak merajuk,” tambahnya.

Terdahulu, BN menamakan Setiausaha Umno Bahagian Tapah, Yusri Bakir, 54, sebagai calon mewakili parti kerajaan untuk PRK tersebut.

Susulan pengumuman itu, Setiausaha Pemuda PAS Perak, Nurhafizul Badrul Hisham berkata Pemuda Umno sebelum ini mencabar PN supaya meletakkan calon muda, tetapi akhirnya BN sendiri mempertaruhkan calon berusia.

Dalam satu hantaran di Facebook, Nurhafizul berkata dia faham kenapa cabaran itu dilontarkan Pemuda Umno iaitu secara tersirat mereka mendesak kepimpinan Umno agar meletakkan calon anak muda.

Sementara itu, Akmal turut memberi jaminan bahawa pemilihan Yusri sebagai calon melalui proses yang sepatutnya, susulan timbul persoalan berkaitan penglibatan Yusri dalam politik ketika masih memegang jawatan kanan dalam perkhidmatan awam.

"Saya rasa sebelum kita pilih calon, sudah tentu teliti semua perkara. Katakan kalau esok ada bantahan, boleh kemukakan ke SPR, tak ada masalah pun," katanya kepada pemberita selepas program tersebut.

Dia berkata demikian sebagai respons kepada Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, yang mempersoalkan penglibatan Yusri dalam politik walaupun masih berkhidmat sebagai pegawai kanan Kementerian Pendidikan.

Pengerusi BN Perak, Saarani Mohammad kelmarin mengesahkan Yusri sudah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.

Menteri Besar Perak itu berkata Yusri menyerahkan surat tersebut awal minggu ini dan kini sedang menunggu surat pelepasan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, pada 22 Februari lalu. Allahyarham juga merupakan Ketua Umno Bahagian Tapah.

SPR menetapkan 12 April sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal dijadualkan pada 22 April.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS