Paling Popular
Terkini

MIC hari ini menggesa masyarakat Hindu di negara ini supaya tidak mengendahkan mana-mana pihak yang cuba mencetuskan isu berkaitan kesahihan kuil mereka, khususnya daripada kalangan individu tertentu.

Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, berkata ada pihak yang dilihat cuba membuktikan mereka adalah “lebih Melayu daripada Melayu” di Malaysia ini.

Sedangkan, katanya, penganut Hindu sudah hidup dengan aman bersama masyarakat Melayu sejak sekian lama.

“Kita dah bersama dengan mereka (orang Melayu) bertahun-tahun. Kita tahu sikap toleransi orang-orang Melayu dan umat Islam di negara ini. Yang buat kekecohan ini ialah Zamri Vinoth dan Firdaus Wong dan sebagainya saja.

“Maka saya minta masyarakat India supaya jangan pedulikan mereka lagi. Biar mereka cakap apa juga, dan biar kerajaan dan Pejabat Perdana Menteri mengambil tindakan yang wajar,” katanya.

Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah menjelaskan orang ramai dapat melihat isu tersebut tidak dicetuskan oleh orang Melayu sendiri bahkan mereka sudah hidup dengan harmoni selama ini.

“Mereka (Zamri dan Wong) nak buktikan mereka ini lebih Melayu daripada Melayu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi calon BN, Mohamad Yusri Bakir, ke pusat penamaan calon sempena PRK Ayer Kuning di Tapah pagi tadi.

Sampai masa akan tahu

Saravanan mengulas pembinaan kuil kecil bersebelahan Ibu Pejabat MIC dan berhadapan dengan surau milik Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di Kuala Lumpur yang mencetuskan bantahan semalam.

Menurut laporan media, pembinaan kuil tersebut dipercayai dilakukan tanpa kelulusan rasmi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Walaupun notis berhenti kerja sudah dikeluarkan, pembinaan berkenaan masih diteruskan.

Saravanan berkata masyarakat India di negara ini telah hidup bersama kaum lain secara harmoni sejak sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan dan tidak pernah ada masalah dalam isu pembinaan kuil.

Saravanan berkata dia hairan mengapa kewujudan kuil Hindu tiba-tiba menjadi isu di negara ini, justeru mengesyaki kontroversi yang berlaku didalangi oleh pihak tertentu.

Pada masa sama, dia menyeru penganut Hindu tidak mempedulikan orang seperti Zamri serta Firdaus Wong yang “menyalak”.

“Saya mohon kepada masyarakat India supaya tidak melayan Zamri Vinoth lagi.

"Kita lihat perkara seperti ini (isu bantahan kewujudan kuil Hindu) ini baru saja berlaku. Kenapa bertahun-tahun perkara ini semua tak wujud?

“Jadi, masyarakat India dah mula syak ada dalang (dalam isu ini). Tapi, siapa dalang itu, sampai masa nanti kita tahu," katanya.

Mengenai pembinaan kuil bersebelahan Ibu Pejabat MIC itu, Saravanan menafikan mereka sedang membina rumah ibadat baru sebaliknya ia hanyalah bersifat sementara sehingga ada tapak lain untuk pemindahan.

Saravanan juga mengkritik Firdaus kerana menimbulkan isu mengenai kuil.

“Sepatutnya kalau Firdaus Wong jujur, dia boleh berjumpa dengan pemimpin MIC dan minta perjelasan. Ini terus buat protes, provokasi dan macam-macam.

“Jadi, tak perlu dilayan. Kita tahu pendidikan orang-orang Melayu di sini. Kita tahu pendidikan umat Islam di negara ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, DBKL memaklumkan mereka sudah mengeluarkan notis henti kerja ke atas pembinaan kuil berkenaan.

Menurut DBKL perbincangan dengan pemilik tanah pada 7 April lalu mendedahkan bahawa struktur itu hanya untuk kegunaan sementara dan peribadi sementara menunggu pembinaan kompleks komersial di plot itu.

“Struktur sementara itu bertujuan untuk kegunaan peribadi pemilik dan bukan untuk orang ramai.

“Pemilik juga memberi jaminan bahawa struktur sementara itu akan dipindahkan dan mereka akan mematuhi semua peraturan DBKL,” kata kenyataan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS