PRK AYER KUNING | PSM nampaknya tidak menerima jawapan Timbalan Yang di-Pertua DUN Perak Jenny Choy yang mempertahankan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming daripada tuduhan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan PRK Ayer Kuning.
Menyindir usaha Choy tersebut, calon PSM Bawani KS menegaskan bahawa pengumuman Nga berkenaan peruntukan sebanyak RM6,130,719 untuk 33 projek pembangunan dan infrastruktur di Tapah sepatutnya boleh dibuat pada masa lain.
“Kenapa pengumuman tak dibuat lebih awal atau nanti? Apa tujuan (buat pengumuman) ketika pilihan raya?” soal Bawani ketika ditemui Malaysiakini di pusat pilihan raya PSM untuk PRK Ayer Kuning.
“Anda tak boleh sesuka hati cakap itu bukan agenda anda (dan) anda tak merancangnya. Ia sangat jelas - anda secara terang beri rasuah kepada rakyat,” katanya lagi.
Kerusi DUN Ayer Kuning, yang kosong susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Februari lalu, terletak di dalam kawasan parlimen Tapah.

Semalam, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyifatkan tindakan Nga menggunakan kedudukannya sebagai menteri untuk menyalurkan projek di kawasan yang sedang berdepan PRK adalah penggunaan sumber kerajaan yang tidak adil.
Terdahulu hari ini, Choy mendakwa pengumuman projek adalah di bawah program Sentuhan Kasih yang sudah berjalan sejak dua tahun lalu, dan bukan semata-mata kerana PRK yang bermula hari ini.
Choy yang juga Adun Canning berkata Nga sebelum ini membuat pengumuman serupa di kawasan lain yang tidak berdepan PRK.
Bagaimanapun, Bawani menyifatkan langkah Nga sebagai “tidak masuk akal” dan PH patut merasa malu kerana sentiasa mengkritik apa yang didakwa sebagai usaha membeli undi ketika gabungan itu menjadi pembangkang.
“Sebelum ini, PH akan (tuduh) BN beri gula-gula pilihan raya tapi sekarang, apabila jadi kerajaan, mereka buat perkara sama.
“Apa beza antara anda (PH) dan BN?” soalnya lagi.
Pengundi Ayer Kuning akan membuat pilihan mereka pada 26 April ini.
Bawani yang merupakan timbalan setiausaha agung PSM akan bedepan dengan Yang di-Pertua PAS Tapah Abdul Muhaimin Malek yang mewakili PN dan Setiausaha Umno Tapah Yusri Bakir yang mewakili BN.
Kawasan DUN itu mempunyai seramai 31,897 pengundi berdaftar, terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan mereka.
Hari mengundi ditetapkan pada 26 April manakala pengundian awal pada 22 April.
