Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amanah Perak gesa siasat tauliah mengajar calon PN
Diterbitkan:  Apr 13, 2025 1:31 PM
Dikemaskini: 5:31 AM

Pemimpin Amanah Perak membangkitkan dakwaan yang menuduh calon Perikatan Nasional (PN) bagi PRK Ayer Kuning, Abd Muhaimin Malek menipu dalam permohonan mendapatkan tauliah mengajar agama di negeri itu.

Pengerusinya Asmuni Awi berkata pihaknya memandang serius dakwaan itu, menyifatkan ia mencemarkan nama baik institusi agama dan derhaka kepada Sultan Perak sebagai Ketua Agama Islam di negeri berkenaan.

"Lebih mengecewakan, calon tersebut enggan memberikan penjelasan terhadap isu ini, meskipun ia melibatkan integriti dan kelayakan asas sebagai pemimpin yang ingin mewakili rakyat," kata Asmuni.

Abd Malek, seorang guru besar di sebuah sekolah agama negeri, dilaporkan enggan mengulas dakwaan itu ketika ditemui pemberita selepas pencalonan rasmi semalam.

Di Perak, pentauliahan agama dikendalikan oleh Jabatan Mufti negeri melalui proses formal yang merangkumi ujian bertulis, temu duga dan tapisan latar belakang, dengan kelulusan akhir hanya diberikan dengan perkenan Sultan.

Menurut Asmuni, peraturan semasa melarang individu yang memegang jawatan politik atau bertanding dalam pilihan raya daripada mendapatkan tauliah sedemikian.

"Jika dakwaan ini benar, maka jelas calon tersebut telah memperoleh tauliah secara tidak sah dan menipu pihak berkuasa agama, selain melanggar garis panduan dan peraturan sedia ada,” katanya.

Pemimpin Amanah itu juga menegaskan bahawa Sultan Perak sebelum ini telah menegur pihak yang menyalahgunakan institusi agama dan tempat ibadat untuk kepentingan politik partisan.

"Perbuatan seperti ini bukan sahaja mencemar kesucian masjid dan surau, malah mencerminkan sikap tidak menghormati arahan tertinggi negeri," katanya.

Dia menambah bahawa tindakan sedemikian juga adalah pengkhianatan terhadap kepercayaan awam, pelanggaran undang-undang syarie, dan mencemar kedaulatan raja berperlembagaan.

Asmuni menggesa pihak berkuasa agama negeri menyiasat perkara itu secara menyeluruh dan mengambil tindakan tegas sekiranya dakwaan itu terbukti benar.

"Rakyat Ayer Kuning berhak memilih pemimpin yang bersih, berintegriti dan menghormati institusi negeri,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS