Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan pengumuman peruntukan RM6.13 juta bagi 33 projek pembangunan di kawasan Parlimen Tapah menjelang pilihan raya kecil (PRK) Ayer Kuning, yang termasuk dalam kawasan parlimen berkenaan.
Anwar berkata, peruntukan yang diumumkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pada 10 April lalu dibuat sebelum penamaan calon bagi PRK DUN Ayer Kuning.
Penamaan calon bagi PRK itu diadakan dua hari selepas pengumuman itu, iaitu pada Sabtu lalu.
"Pengumuman itu dibuat sebelum proses penamaan calon. Kalau selepas itu (penamaan calon) kita kena bagi amaran...tidak boleh," katanya seperti dipetik Bernama.
Anwar dilapor berkata demikian kepada media selepas majlis perjumpaan bulanan Kementerian Kewangan (MOF) di Putrajaya, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata keputusan kerajaan adalah jelas, penggunaan jentera atau peruntukan kerajaan setelah penamaan calon sehingga hari mengundi, adalah tidak dibenarkan.
Pada 10 April lepas, Nga mengumumkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan RM6.13 juta bagi 33 projek pembangunan dan infrastruktur awam di bawah Program Sentuhan Kasih 3.0.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) membidas pengumuman itu dengan mengatakan bahawa penyaluran dana dan projek pembangunan ke kawasan yang sedang berdepan dengan pilihan raya adalah satu bentuk penyalahgunaan sumber kerajaan, bercanggah dengan prinsip pilihan raya yang adil dan bersih.
Untuk rekod, Akta Kesalahan Pilihan Raya menyatakan adalah salah untuk memberikan atau menjanjikan apa-apa wang atau balasan bernilai bagi mendorong pengundi sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya.
Pengundian bagi PRK Ayer Kuning ditetapkan pada 26 April, manakala pengundian awal pada 22 April.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, yang meninggal dunia akibat serangan jantung selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 22 Feb lepas.
