Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zaid sokong saranan Tengku Maimun isu pelantikan ketua hakim
Diterbitkan:  Apr 14, 2025 2:30 PM
Dikemaskini: 6:30 AM

Berikutan kritikan bekas menteri undang-undang Nazri Abdul Aziz berhubung kenyataan Tengku Maimun Tuan Mat mengenai pengaruh politik dalam pelantikan kehakiman, seorang lagi bekas menteri undang-undang tampil membela Ketua Hakim Negara itu.

Dalam catatan Facebook hari ini, Zaid Ibrahim menyifatkan Nazri sebagai "wira Madani" yang kelihatan marah dengan cadangan Tengku Maimun bahawa proses pelantikan hakim ketika ini boleh terdedah kepada campur tangan politik.

Bercakap pada persidangan undang-undang di Malta minggu lalu, Tengku Maimun dilaporkan menggesa agar peranan perdana menteri dalam pelantikan kehakiman dilucutkan. Katanya, ia "akan mengukuhkan kesaksamaan proses pemilihan" dan memastikan ia "kekal bebas daripada sebarang persepsi pengaruh politik."

"Sudah tentu, dia seratus peratus betul. Hakikat bahawa dia (Tengku Maimun) juga dilantik di bawah proses yang sama tidak harus menghalangnya daripada mengulas mengenai perkara itu. Hujah seperti itu adalah kebudak-budakan," kata Zaid merujuk kritikan Nazri.

Zaid berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Undang-undang dan Pembaharuan Kehakiman pada 2008 di bawah Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi ketika itu.

Dia berkata jika Nazri membaca dengan teliti peruntukan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK), dia akan memahami asas kebimbangan Tengku Maimun.

“PM boleh menolak nama-nama yang dicadangkan oleh SPK.

"Ini membuka ruang yang luas untuk PM melantik pilihannya. Jika itu yang kerajaan mahu, hapuskan SPK," katanya.

Dia menambah bahawa kerajaan harus berhenti berpura-pura mahukan badan kehakiman yang bebas pada masa sama bertindak balas secara defensif terhadap saranan ​​Tengku Maimun.

Nazri sebelum ini mempersoalkan alasan Tengku Maimun membuat kenyataan berkenaan ketika hampir bersara dan menyatakan bahawa Ketua Hakim Negara itu dilantik di bawah sistem yang sama, yang mengikut konvensyen undang-undang British.

Untuk konteks, pelantikan kehakiman di Malaysia dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS