Kementerian Dalam Negeri telah memulakan siasatan terhadap akhbar harian berbahasa Cina, Kwong Wah Yit Poh, selepas mengumumkan siasatan serupa terhadap Sin Chew Daily.
Ini berikutan hantaran Facebook Kwong Wah Yit Poh yang memaparkan muka depan edisi petang semalam, yang menunjukkan Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit.
“Kesalahan ini membawa impak yang sama, ia tidak boleh dikompromi dan akan disiasat di bawah peruntukan perundangan yang melibatkan media baru.
“Oleh itu, Kementerian Dalam Negeri memberi peringatan tegas agar tidak ada pihak yang secara sengaja atau tidak cuba mempermainkan Jalur Gemilang samada di media cetak, elektronik mahupun media sosial.
“Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan, perpaduan dan identiti nasional negara ini yang wajib dihormati serta dimartabatkan oleh semua pihak,” kata kementerian itu dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan pihaknya telah memanggil Kwong Wah Yit Poh dan memulakan siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“MCMC memandang serius perkara tersebut dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada KDN serta polis dalam menjalankan siasatan lanjut terhadap isu berkenaan, sekiranya perlu dan berkaitan,” katanya dalam kenyataan.
Semakan Malaysiakini mendapati imej bulan sabit ada pada imej asal yang digunakan oleh Kwong Wah Yit Poh, namun ia terlindung oleh tajuk berita. Hantaran yang mencetuskan kontroversi itu telah dipadamkan.
Malaysiakini telah menghubungi Kwong Wah Yit Poh untuk mendapatkan komen berhubung isu tersebut.
Semalam, Sin Chew Daily menyiarkan ilustrasi muka depan yang memaparkan sebuah jong yang membawa bendera Malaysia dan China, sempena dengan lawatan Presiden China Xi Jinping ke negara ini.

Kwong Wah Yit Poh pula memuat naik hantaran di Facebook yang memaparkan muka depan edisi petang semalam, yang menyertakan gambar papan iklan elektronik di sebuah pusat beli belah yang memaparkan bendera Malaysia dan China.
Dalam kedua-dua kes, lambang bulan sabit tidak kelihatan pada bendera Malaysia.
Sin Chew Daily kemudiannya memohon maaf dan menyatakannya sebagai “kesilapan teknikal”. Akhbar itu juga telah membetulkan ilustrasi tersebut dalam edisi digital dan menerbitkan semula versi bercetaknya.
Ia turut memaklumkan akan mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangannya yang terlibat.
Terdahulu hari ini, KDN dan polis mengumumkan Sin Chew Daily disiasat di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Ia walaupun terdapat gesaan daripada kumpulan masyarakat sivil agar pihak berkuasa tidak mengambil pendekatan yang terlalu keras dalam mempertanggungjawabkan akhbar tersebut atas kesilapan itu.
