Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi mengakui kenyataan awalnya pada 12 April menuduh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad enggan memulangkan harta parti adalah berdasarkan laporan berita "tidak jelas".
Dalam catatan Facebook, Puad mengakui bahawa Mahathir pada 2015 telah menandatangani pemindahan tanah seluas 9,723 meter persegi (0.97 hektar) yang dipegangnya sebagai amanah untuk parti.
"Tulisan saya dalam Facebook (pada 12 April) adalah berdasarkan laporan media yang tidak jelas ketika itu. Tun M (Mahathir) telah menandatangani surat tukar milik harta pada tahun 2015.
"Tetapi pada tahun 2017, Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur (PTGKL) telah menolaknya atas alasan nama atas geran tidak mengikut nama di dalam kad pengenalan.
"Contoh, pemegang amanah (dalam geran) Daim Zainuddin tetapi nama dalam kad pengenalan, Che Abdul Daim Bin Haji Zainuddin," katanya.
Pada 11 April lalu, Umno mengesahkan terdapat seorang individu yang sebelum ini menjadi pemegang amanah parti masih enggan menandatangani dokumen pelepasan walaupun pemegang amanah lain sudah berbuat demikian.
Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, berkata individu yang dilantik sebagai pemegang amanah sepatutnya melepaskan tanggungjawab itu setelah tidak lagi memegang jawatan dalam parti atau kerajaan.
Susulan itu Puad kemudiannya menyoal kenapa Mahathir masih dinamakan sebagai pemegang amanah sebidang tanah milik Umno itu, walaupun sudah lama meninggalkan parti.
Dia berkata Mahathir sepatutnya telah melepaskan status pemegang amanah itu sejak kali pertama keluar daripada Umno pada tahun 2008, apatah lagi selepas meninggalkan parti itu sekali lagi pada 2016.
Mahathir tampil menafikan dakwaan dia enggan menandatangani dokumen pelepasan sebagai pemegang amanah sebidang tanah milik Umno itu dan menyifatkan tuduhan oleh Ahmad Zahid dan Puad sebagai fitnah dan tidak berasas.
Sementara itu Puad yang juga speaker DUN Johor mengakui kenyataannya itu adalah ralat selepas membaca kenyataan balas Mahathir.
"Ia juga membabitkan gelaran pingat kepada nama Tun M untuk mendapatkan tanda tangan akuan bersumpah (SD) daripada individu terbabit untuk mengesahkan bahawa mereka adalah individu sama mungkin sukar dalam keadaan politik sekarang.
"Justeru Umno mengambil tindakan saman terhadap PTGKL atas alasan itu kesilapan PTGKL," katanya.
