Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jawatankuasa pemilihan PKR nafi ada 'tangan ghaib'

Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR menafikan dakwaan terdapat 'tangan ghaib' yang mempengaruhi keputusan pemilihan parti yang sedang berlangsung.

Pengerusi JPP, Dr Zaliha Mustafa berkata jawatankuasa itu bagaimanapun mengalu-alukan ahli parti untuk membuat aduan mengenai syak wasangka mereka, sambil memastikan ia akan meneliti setiap isu yang dibangkitkan mengenai proses pemilihan.

Bercakap kepada pemberita di Putrajaya, dia berkata jawatankuasa itu telah bekerjasama secara langsung dengan syarikat yang membangunkan sistem pemilihan dalam talian PKR.

Proses pengundian, tambah Zaliha, juga sedang dipantau rapi oleh syarikat audit yang meneliti setiap langkah proses pengundian.

“Jadi, setakat yang saya dapat lihat sepanjang proses pilihan raya, saya tidak nampak apa yang didakwa sesetengah pihak sebagai ‘tangan ghaib’.

"Kerana kami memantau pengundian dengan teliti," katanya kepada media selepas melancarkan seminar antirasuah di Putrajaya.

Zaliha diminta menjawab soalan yang dibangkitkan oleh beberapa pemimpin dan ahli PKR berikutan tamatnya pengundian peringkat cabang di tujuh negeri.

Mereka mendakwa beberapa keputusan pelik merentas pasukan yang bersaing, dengan beberapa cabang mempunyai keputusan di mana seorang ketua pasukan - calon mereka untuk ketua cabang - tewas, manakala hampir semua yang lain dalam pasukan itu menang.

Ini secara tidak langsung membawa kepada senario di mana ketua pasukan menang walaupun kebanyakan ahli pasukan mereka kalah.

Menjawab perkara itu, Zaliha berkata ahli jawatankuasa pilihan raya juga tidak tahu calon mana yang tergolong dalam "chai" (kem) yang mana.

"Kami anggota JPP sebenarnya tak kenal pun siapa, siapa dia punya ketua, siapa chai dia, kita tak tahu, kita tak kenal pun

"Mungkin dia anggota parti kita kenal, tapi anggota parti itu kan ramai. Jadi saya saya kira dakwaan itu kita ambil (maklum), maksudnya saya tidaklah mengatakan saya tolak 100 peratus tetapi kita akan meneliti setiap daripada apa sahaja aduan, ketidakpuasan hati anggota," tambahnya.

Isu politik wang

Ditanya mengenai dakwaan calon PKR menawarkan rasuah sebagai pertukaran undi, Zaliha menggesa ahli parti tampil membuat aduan kepada jawatankuasa itu melalui laman web mereka.

Dia menegaskan jawatankuasa itu tidak berkompromi dalam isu tersebut dan akan menyiasat.

“Jika perlu kami akan mengambil tindakan yang tegas kepada unsur-unsur yang disebut sebagai politik wang dan sebagainya.

"Perkara perkara sebegini tidak seharusnya berlaku. Sebab kita mahu dalam pemilihan pada kali ini atau pemilihan pada bila-bila pun,a pun adalah untuk memilih pemimpin.

"Jadi seharusnya pemimpin itu kenalah mereka yang ada tata kelola yang baik, integriti yang baik dan akhirnya memimpin negara dengan baik," katanya.

Semalam, dilaporkan satu video tersebar yang didakwa menunjukkan calon utama dalam pasukan Ahli Parlimen Batu P Prabakaran memberitahu seseorang bahawa mereka akan mendapat RM100 jika mengundi pasukan mereka.

Dalam video itu, wanita itu kedengaran berkata bahawa RM100 sebagai "duit raya" akan diagihkan pada majlis berbuka puasa seminggu sebelum Aidilfitri, dan RM100 juga akan dibayar pada hari mengundi.

Prabakaran, yang mempertahankan kerusinya sebagai ketua cabang PKR Batu, menafikan penglibatannya dalam perkara itu.

Wanita dalam video itu, Fatin Izzaty Muhammad, yang bertanding jawatan ketua AMK Batu, turut mendakwa dirinya difitnah dan video itu disebarkan bagi menjatuhkannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS