Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS Sabah petik gejala rasuah dalam ucapan di DUN
Diterbitkan:  Apr 17, 2025 4:24 PM
Dikemaskini: 8:24 AM

Setiausaha PAS Sabah, Aliakbar Gulasan, hari ini menyentuh isu keburukan rasuah dan mempersoalkan sejauh mana gejala tersebut menyebabkan kemunduran pembangunan negeri.

"Isu rasuah sudah menjadi bualan umum. Dalam sidang yang lepas saya mulakan ucapan pada waktu itu dengan (menyebut) balasan Allah terhadap mereka yang rasuah," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Kota Kinabalu semalam.

Aliakbar yang merupakan Adun lantikan dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata demikian sebagai mengimbas kembali ucapannya di sidang DUN sebelum ini yang menyentuh pembalasan Tuhan terhadap mereka yang terlibat dalam rasuah.

"Kita tidak ada data yang pasti (konkrit), benarkah rasuah ini menjadi antara perkara yang menyebabkan kita (Sabah) mundur.

"Bagaimanapun kita pasti rasuah ini satu perkara yang boleh membawa kebobrokan dalam masyarakat dan merosakkan sistem nilai manusia di mana-mana peringkat," katanya merujuk kepada Sabah yang mencatatkan kadar miskin tegarnya enam kali ganda berbanding kadar purata kemiskinan nasional.

Justeru, Aliakbar menasihatkan semua pihak sama ada ahli politik, penjawat awam mahupun orang ramai agar menjauhi amalan rasuah.

Pemimpin PAS itu berkata dia yakin dengan ketiadaan rasuah, pembangunan dan perjalanan Negeri di Bawah Bayu selepas ini akan menjadi pantas dan lancar.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Adun Warisan, Jamil Hamzah, mencadangkan agar Malaysia mengambil pendekatan yang lebih keras terhadap isu rasuah dengan mencontohi negara China yang mengenakan hukuman mati ke atas pihak yang disabitkan bersalah.

Jamil yang juga Adun Bugaya mengemukakan cadangan itu di ketika kerajaan negeri terus terpalit dengan dakwaan skandal rasuah.

"Mungkin kita boleh belajar daripada negara-negara yang berjaya menangani rasuah.

"Satu contoh ialah China, di mana mereka yang terlibat dalam rasuah adalah tembak mati (mati ditembak)," kata Jamil.

Sejak Nov tahun lalu, seorang ahli perniagaan mendedahkan satu siri video dan tangkap layar perbualan WhatsApp yang membabitkan lapan Adun GRS, serta Speaker DUN Sabah, Kadzim Yahya.

Ahli perniagaan itu - yang mendakwa memiliki video tambahan - mendakwa dia merasuah ahli politik itu sebagai pertukaran untuk mendapatkan lesen cari gali mineral.

Ketua Menteri, Hajiji Noor, menuduh individu itu bersekongkol dengan pihak tertentu untuk memburukkan pentadbirannya menjelang pilihan raya negeri akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS