Pemilik sebuah syarikat kuari menafikan dakwaan masyarakat Orang Asli di Bidor, Perak bahawa ia menceroboh tanah mereka.
Sebaliknya, kata pemilik kuari Siong Emas Sdn Bhd, masyarakat Orang Asli yang menceroboh tanah milik syarikat itu.
Bagi membuktikan dakwaan tersebut, Pengarah Urusan Siong Emas, Tan Ee Tiam membekalkan Malaysiakini dengan salinan hak milik tanah sebagai menjawab tuduhan Orang Asli terhadapnya.
“Tanah itu milik Siong Emas. Kita ada bukti, kita ada hak milik tanah.
“Masyarakat Orang Asli di Kampung Chang Lama menceroboh tanah berkenaan,” katanya.
Hakmilik tanah itu memperuntukkan plot seluas 2.832ha yang dipanggil Lot 16225 di Batang Padang sebagai tapak kuari.

Minggu lalu, masyarakat Orang Asli mengadakan protes sebagai membantah dakwaan pencerobohan sebuah syarikat di tanah pusaka mereka selepas menjumpai papan tanda di sepanjang kawasan Jejog.
Ketua Kampung Tok Batin Dahil Yok Chopil berkata ini melanggar Deklarasi Hak Orang Asli, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kerana persetujuan Orang Asli tidak diperolehi dan dia menggesa Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) membatalkan pajakan syarikat ke atas tanah di kawasan itu.
Menurut Dahil, Siong Emas telah diberikan pajakan selama 30 tahun untuk tapak tersebut pada 14 Feb 2007, yang tamat tempoh pada 26 Mei 2022.
Sambungan pajakan 44 tahun, tamat tempoh pada 25 Mei 2066, telah didaftarkan pada 29 Nov 2021, tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Tan berkata dia telah membuat laporan polis pada 16 Dis 2024, terhadap pencerobohan tersebut.
Dalam salinan laporan polis yang turut dikongsinya, dia berkata bahawa dia mendapati pokok kelapa sawit ditanam di tanah berkenaan tetapi tidak pasti siapa yang berbuat demikian.
Dia juga menemui papan tanda yang memaparkan nama orang lain dan mengaitkan pemilikan tanah itu kepada Jakoa.
"Memandangkan tanah saya itu kategori perindustrian (kuari) bukannya pertanian, saya datang ke balai polis Bidor buat laporan untuk rujuk ke Pejabat Tanah dan MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia)," kata pengarah urusan Siong Emas itu.

Menurut tok batin itu, kawasan berkenaan adalah tapak suci kepada masyarakat kerana di situlah mereka mengadakan upacara sembahyang dan aktiviti pertanian tanaman.
"Kawasan itu dan sekitarnya juga adalah tanah perkuburan nenek moyang, termasuk kubur Moyang Tangkut dan Moyang Mawai, seorang pengamal perubatan tradisional yang sangat dihormati yang pernah tinggal di sana," kata Dahil.
