Bekas pengendali Menara Kuala Lumpur, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dan Hydroshoppe Sdn Bhd menafikan dakwaan bahawa syarikat mereka beroperasi secara “tidak sah” serta gagal menyelenggara beberapa kemudahan dan struktur menara ikonik itu.
Pengarah urusan MKLSB, Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh tampil mengulas kenyataan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang sebelum ini mempertahankan tindakan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan menguatkuasakan pengusiran terhadap syarikat itu.
“MKLSB dan Hydroshoppe dengan ini menafikan sebarang dakwaan bahawa kami beroperasi secara tidak sah yang kononnya mengakibatkan pengusiran paksa dan sitaan ke atas premis Menara Kuala Lumpur pada lewat malam semalam.
“Pihak kami juga menafikan dakwaan bahawa peralihan konsesi dilakukan kerana syarikat kami gagal dalam menguruskan operasi Menara Kuala Lumpur,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Komunikasi mengumumkan bahawa Menara Kuala Lumpur akan ditutup sementara kepada pengunjung bermula hari ini bagi tujuan pengambilalihan pengurusan.
Dalam kenyataan yang memaklumkan penutupan tersebut, kementerian menegaskan menara berkenaan milik kerajaan maka operasi, pengurusan serta penyelenggaraannya telah diambil alih oleh LSH Service Master Sdn Bhd berkuat kuasa 1 April lalu.
Fahmi berkata penutupan sementara itu bertujuan membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan dilakukan kerana terdapat kemudahan serta struktur dalam keadaan tidak memuaskan.
Namun, Abdul Hamid berkata berdasarkan laporan prestasi tender yang dikeluarkan oleh penolong setiausaha kanan Kementerian Komunikasi, MKLSB dan Hydroshoppe telah mencapai kemajuan 100 peratus serta memenuhi semua obligasi kontrak.

“Pihak kami ingin menegaskan bahawa notis awam yang mengisytiharkan penutupan Menara Kuala Lumpur untuk kerja-kerja penyelenggaraan adalah tidak benar.
"Sebaliknya, tindakan yang sebenar adalah pengusiran paksa terhadap kami dan pengambilalihan operasi Menara Kuala Lumpur melalui satu tindakan yang dilakukan oleh Kementerian Komunikasi, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada lewat malam semalam,” dakwanya.
Terdahulu hari ini, pasukan peguam yang mewakili MKLSB dan Hydroshoppe turut mengumumkan mereka telah menerima arahan untuk memulakan prosiding komital terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam penyitaan itu.
Hydroshoppe dan MKLSB kini menyaman kerajaan sebanyak RM1 bilion atas dakwaan penamatan konsesi secara salah.
