Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyiasat dakwaan bahawa Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah menghukum pelajar kerana mempersoalkan pelajar yang berpakaian seperti kumpulan Ku Klux Klan (KKK).
Pengarah eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy, turut menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menjalankan siasatan terhadap dakwaan tersebut yang melibatkan pelanggaran hak kebebasan bersuara, kebebasan akademik dan kebebasan bergerak pelajar-pelajar terbabit.
Dia menyuarakan kebimbangan terhadap dakwaan bahawa pelajar yang mendedahkan rakaman insiden kontroversi tersebut telah dihalang daripada meninggalkan kampus.
"Universiti itu juga perlu menjelaskan sama ada mereka sedang menyiasat mesej-mesej berunsur ugutan yang didakwa diterima oleh pelajar-pelajar tersebut daripada rakan sebaya mereka.
"Institusi pengajian seharusnya melindungi, bukan menghukum, pelajar yang terlibat dalam tindakan bantahan secara aman — terutamanya apabila bantahan tersebut menyumbang secara bermakna kepada wacana umum berkaitan hak asasi manusia," katanya dalam satu kenyataan.
Pada 15 April lalu, UiTM menjelaskan video tular memaparkan sekumpulan pelajarnya berpakaian kostum seperti ahli KKK sebenarnya merupakan sebahagian daripada sesi pembentangan tugasan akademik oleh pelajar Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil.
Dalam satu kenyataan, UiTM menjelaskan tugasan berkenaan bertujuan menggalakkan pemikiran kritikal dan kesedaran pelajar terhadap isu-isu hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.
"Dalam sesi tersebut, pelajar telah memilih untuk membentangkan isu berkaitan diskriminasi kaum dan kebencian berasaskan warna kulit, yang merupakan antara pelanggaran hak asasi manusia yang pernah berlaku di beberapa negara.
"Kostum serta elemen visual yang digunakan bertujuan membantu meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap topik yang dibentangkan, serta memberi gambaran lebih menyeluruh dari perspektif sejarah dan global.
Semalam satu hantaran oleh Fajar Baru di platform X mendakwa pihak pengurusan UiTM telah menghalang pelajar-pelajar yang mempersoalkan aktiviti itu keluar daripada kampus.
Laman media alternatif itu memetik sumber tanpa nama, serta menyatakan bahawa maklumat tersebut turut disahkan oleh sumber pelajar lain.
Sejak 14 April, satu klip video pendek yang memaparkan aktiviti tersebut tular di media sosial.
Netizen mengkritik tindakan pelajar-pelajar tersebut kerana didakwa mengagungkan kumpulan KKK, sebuah kumpulan pelampau kulit putih yang terkenal dengan serangan dan pembunuhan kejam terhadap golongan berkulit gelap di Amerika Syarikat.
Mereka juga meminta pihak berkuasa dan UiTM agar mengambil tindakan tegas terhadap pelajar-pelajar terbabit.
Penganut Kristian di Malaysia turut mengecam insiden tersebut sebagai tidak sensitif, memandangkan KKK ialah kumpulan pelampau yang mengaku mewakili agama Kristian, dan gambaran seperti itu berlaku dalam minggu suci (Holy Week) yang bermula Ahad lalu (13 April).
