Perakam video dakwaan rasuah dalam pemilihan cabang PKR dan keluarganya didakwa diganggu dan diberikan tekanan susulan pendedahan itu.
“Oleh itu satu laporan polis akan dibuat bagi tujuan keselamatan beliau dan ahli keluarga,” kata bekas pemimpin PKR Wilayah Persekutuan Rozan Azen Mat Rasip.
Identiti perakam dan butiran berkaitan laporan polis itu setakat ini belum didedahkan.
Rozan yang juga bekas pemimpin cabang itu menjalankan kempen antirasuah dalam pemilihan PKR cabang Batu, Kuala Lumpur.

Inisiatif itu diambil susulan pengedaran video pemberian ‘duit raya’ dan janji “jackpot” jika penyandang P Prabakaran berjaya mempertahankan jawatan itu.
Prabakaran menafikan sebarang penglibatan susulan dakwaan itu.
Ketua Srikandi PKR Batu Fatin Izzaty Muhammad yang dirakam dalam video itu mendakwa ia bantuan biasa dan bukan untuk membeli undi.
Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Rozan berkata dia telah menghubungi pihak yang membuat rakaman dakwaan rasuah itu untuk mendapatkan pengesahan latar, maklumat tambahan, dan memeriksa silang fakta.
Sedia tampil
Katanya, perakam juga bersedia untuk tampil berjumpa dengan Biro Aduan Jawatankuasa Pemilihan PKR dan SetiausahaAgung, Fuziah Salleh bagi tujuan siasatan dan tindakan selanjutnya
“Pihak Biro Aduan JPP dan Pejabat Setiausaha Agung PKR telah memberi respon positif pada aduan saya kelmarin.
“Oleh itu proses siasatan sedang dijalankan secara teratur,” katanya.

Terdahulu, tersebar video janji ‘duit raya’ yang menimbulkan kebimbangan berkaitan dakwaan politik wang di tengah-tengah pemilihan PKR yang sedang berlangsung.
Video yang kelihatan seperti dirakam secara rahsia itu antaranya memaparkan Fatin memberi wang dan meminta mengundi pasukan “YB Praba”, termasuk dirinya dalam pemilihan PKR, 19 April.
Fatin juga berkata duit raya RM100 akan diberikan sebelum mengundi dan RM100 lagi semasa mengundi.
“Kalau kita menang ada jackpot, jangan risau,” katanya lagi.
Prabakaran, yang juga anggota parlimen Batu, dicabar oleh peguam Asheeq Ali yang juga bekas aktivis mahasiswa.
