Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin mengkritik kerajaan berhubung kemelut mengenai konsesi dan syarikat pengendali Menara Kuala Lumpur (KL Tower).
Muhyiddin mendakwa pengusiran syarikat pengendali terdahulu – Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dan Hydroshoppe Sdn Bhd - dilakukan secara tidak sah.
"Hukum rimba tidak boleh dijadikan amalan dan norma pentadbiran negara. Insiden pengusiran paksa ini menggoncang asas Malaysia sebagai sebuah negara hukum.
“Adalah tidak wajar bagi kerajaan untuk tidak mempertimbangkan sebuah syarikat bumiputera yang telah mengurus Menara KL selama bertahun-tahun dengan rekod yang baik.
"Pada masa yang sama syarikat tersebut telah dilayan secara tidak adil kerana terpaksa menanggung liabiliti berjumlah lebih RM300 juta,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 17 April lalu, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan mengusir MKLSB dan Hydroshoppe dari Menara Kuala Lumpur.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata kedua-dua syarikat itu menduduki bangunan tersebut secara tidak sah selepas pengurusan menara itu dipindahkan kepada LSH Service Master pada 1 April.
Menara KL pada asalnya dikendalikan oleh MKLSB, yang ketika ditubuhkan dimiliki sepenuhnya oleh Telekom Malaysia Berhad (TM).
Ia merupakan satu-satunya pengendali Menara KL sejak tahun 1996 melalui kontrak konsesi dengan kerajaan, yang diperbaharui setiap 15 tahun.
Namun, pada penghujung tahun 2022, TM telah menjual keseluruhan pegangan sahamnya dalam MKLSB kepada Hydroshoppe Sdn Bhd.
Apabila kerajaan Madani mengambil alih kuasa pada November 2022, kerajaan telah menamatkan konsesi MKLSB dan membuka permintaan untuk cadangan (RFP).
Pada Mei tahun lalu, konsesi itu dianugerahkan kepada LSH Service Master – yang merupakan syarikat usaha sama antara dua syarikat, LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd.
Service Master ialah sebuah syarikat Bumiputera.
Hydroshoppe dan MKLSB telah menyaman kerajaan sebanyak RM1 bilion berhubung dakwaan penamatan konsesi mereka secara salah.
Hydroshoppe berkata penamatan konsesi itu menyebabkan ia menanggung liabiliti melebihi RM300 juta yang ditanggung selepas memperoleh saham MKLSB.