Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mahu isu pemberian cenderahati kepada Presiden China, Xi Jinping tidak diperbesarkan dan diperkatakan.
Dia yang juga menteri pengangkutan, berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan, hari ini berhubung isu pemberian plak ukiran naga tersebut yang menjadi kecoh di media sosial.

"Cenderahati itu adalah hadiah peribadi dan saya tidak cakap pemberian daripada kerajaan," katanya selepas perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan dan Raikan Kasih Madani Tahun 2025 di kementeriannya di Putrajaya, hari ini.
Baru-baru ini kecoh di media sosial susulan klip rakaman mengenai perkara itu yang tular dan mendapat perhatian ramai selepas ia dimuat naik oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching di laman Facebook miliknya.
Loke didakwa menyampaikan cenderahati itu melalui 'pintu belakang' tanpa sebarang protokol rasmi dan juga ukiran naga dilihat tidak bersesuaian.

Plak tersebut diberikan pada 17 April lalu sebelum Xi berlepas ke Kemboja selepas berada di Malaysia selama tiga hari dalam lawatan negaranya.
Pendakwah bebas Firdaus Wong turut berkongsi satu video yang memaparkan seorang wanita mempersoal tindakan Loke itu.
Menerusi video tersebut, wanita berkenaan mempersoal sama ada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri tahu serta memberi kelulusan berhubung penyerahan plak terbabit.
Menurut wanita itu, Loke telah menyalah gunakan kuasanya sebagai menteri pengiring dan melanggar protokol kerana menyerahkan cenderahati tersebut di ‘pintu belakang’.
Akhbar Sin Chew Daily, sebelum ini memetik ahli Parlimen Seremban itu sebagai berkata cenderahati terbabit diberikan berhampiran pintu belakang demi keselamatan Xi.
“Fikirkanlah, adakah Xi Jinping, pemimpin negara besar perlu melalui pintu belakang?

“Ini demi keselamatan Presiden Xi. Beliau perlu masuk ke dalam kereta sejurus selepas keluar dari hotel, jadi kami hanya dibenarkan menyerahkan cenderahati itu di tempat letak kereta bawah tanah,” katanya.
Mengenai cenderahati ukiran naga itu pula, Loke berkata simbol berkenaan melambangkan kekuatan, kebijaksanaan dan persahabatan dalam budaya Cina dan plak itu adalah 100 peratus buatan Malaysia iaitu oleh Royal Selangor.
Menurutnya, Xi berpuas hati dengan hadiah terbabit, malah dia turut kagum dengan layanan dan keramahan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin Malaysia sepanjang lawatannya ke nagara ini.
Presiden China itu mengadakan lawatan selama tiga hari di Malaysia bermula 15 April lalu.

Dia bersama beberapa menteri kabinet dan pegawai-pegawai kanan kerajaan China hadir ke negara ini atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Semasa berada di negara ini, Xi juga telah bertemu Anwar untuk berbincang mengenai kerjasama dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau serta antarabangsa berkepentingan bersama.
