Think City berhasrat membawa transformasi di Kuala Lumpur menerusi inisiatif terbarunya yang dinamakan Warisan Kuala Lumpur (Warisan KL).
Warisan KL dikatakan sebagai satu usaha strategik untuk menjadikan ibu kota sebagai hab kreatif dan budaya yang dinamik, inklusif dan berdaya saing.
Pengarah Urusan Think City Hamdan Majeed berkata Warisan KL adalah kesinambungan kepada pelan induk Kuala Lumpur Creative & Cultural District (KLCCD) 2019 dan bertujuan memperkukuh industri kreatif dan budaya sebagai teras utama ekonomi bandar.
"Warisan KL bukan sahaja memartabatkan warisan dan budaya ibu kota, malah mampu menjadi pemangkin pembangunan ekonomi tempatan dan menarik minat pelaburan domestik serta antarabangsa," katanya dalam satu pertemuan bersama media baru-baru ini.

Hamdan memaklumkan Warisan KL merangkumi dua bahagian, dengan zon teras melibatkan kawasan seluas 1.08 km persegi dan meliputi kawasan penting seperti pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak serta laluan pengangkutan awam utama.
Zon ini dibahagikan kepada lima presint utama iaitu presint jalan membeli-belah Tradisional, presint pendidikan, presint segi tiga warisan, presint sivik dan presint Petaling Street, katanya.
Bahagian kedua iaitu zon penampan, katanya lagi, melibatkan kawasan seluas 8.96 km persegi, merangkumi lokasi ikonik seperti Tugu Negara, Muzium Negara, KL Sentral, Stadium Merdeka dan Bukit Nanas dan berperanan menyokong pertumbuhan dan kesinambungan ekosistem budaya bandar.
“Kami dapat melihat kawasan sejarah Kuala Lumpur berubah. Ada tenaga baru yang muncul. Kami dapat melihat tempat ini menjadi tarikan. Ada perniagaan baru, aktiviti baru, orang baru datang melawat, banyak pelaburan baru dan banyak yang sedang dibuat.
"Regenerasi tanah biasanya tidak ambil masa semalaman. Saya perlu jelaskan dengan jelas kerana orang mengharapkan hasil yang segera, tetapi ia sebenarnya adalah proses yang panjang," kata Hamdan, sambil menambah inisiatif Warisan KL akan dilancarkan pada 25 April ini di Menara DBKL.
