Kerajaan Kedah mempunyai cara tersendiri bagi menanangi isu pembinaan rumah ibadah bukan Islam (Ribi) yang dibangunkan tanpa kebenaran di seluruh negeri berkenaan.
Menekankan aspek berhati-hati dan harmoni, Exco Sumber Manusia, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, dan NGO Kedah, Wong Chia Zhen, berkata kerajaan negeri tidak mahu isu berkenaan menjadi modal politik pihak tertentu.
Katanya, pendekatan kerajaan negeri boleh diibaratkan seperti menarik rambut dalam tepung.
“Rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.
“Kita tidak ambil tindakan keras secara langsung, sebaliknya beri ruang kepada rundingan dan penyelesaian secara baik dan teratur,” katanya seperti dipetik Sinar Online hari ini.
Wong berkata demikian semasa menggulung perbahasan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Alor Setar hari ini.
Isu Ribi yang dibina tanpa mendapat kelulusan terus menjadi perhatian selepas ia mencetuskan kontroversi – dan ketegangan – ekoran sebuah kuil Hindu di tengah Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Wong setiap pembinaan atau permohonan tapak untuk Ribi perlu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan selaras dengan undang-undang.
Dia yang juga Setiausaha Agung Gerakan dan Pengerusi Gerakan Kedah menambah, antara daerah yang mencatatkan permohonan tertinggi untuk pembinaan Ribi ialah Kuala Muda dan Kulim.
Pada masa sama, Wong berkata, ada “beberapa Ribi” di Kulim dan Kuala Muda dibina secara haram dan sedang dalam pemantauan kerajaan negeri.
Katanya usaha sedang dilakukan bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Wong yang juga Adun Kulim menambah kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk membantu menyelesaikan isu berkaitan Ribi.
“Saya akan terus pertahankan undang-undang sedia ada sambil memastikan kebajikan rakyat pelbagai kaum dan agama terus terpelihara,” katanya.
