Susulan penemuan mengerikan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) - seekor anak kucing yang ditemui dikerat-kerat - satu lagi kisah baru menyeramkan muncul di negeri ini.
The Borneo Post melaporkan bahawa seorang pemilik kucing di Permyjaya membuat laporan polis, mendakwa haiwan kesayangannya dibakar hidup-hidup dengan sengaja.
Tiga ekor kucing dilaporkan mati terbakar manakala seekor lagi mati akibat terhidu asap.

"Apa yang saya mahu sekarang ialah keadilan untuk kucing saya yang sengaja dibakar. Mereka adalah sebahagian daripada keluarga saya.
"Saya tidak faham bagaimana sada orang yang boleh bertindak sebegitu kejam dan tidak berperikemanusiaan terhadap haiwan." kata Michelle Nelly Simon, 26.
Menceritakan kejadian itu, Michelle berkata dia dan keluarganya berada di rumah ketika itu, dan baru sahaja selesai makan malam bersama rakan-rakannya yang berakhir sekitar jam 11 malam.
"Kira-kira jam 1.20 pagi, saya terhidu bau asap dan pada mulanya menyangka jiran kami mungkin masih buat barbeku. Tetapi apabila saya melangkah keluar dari bilik saya, saya terkejut melihat dapur dipenuhi asap," tambahnya.
"Saya semua ada 13 kucing - ada yang diberikan kepada saya, dan yang lain adalah kucing sesat atau jalanan yang saya pungut," jelasnya.

Menurut Michelle, lima daripada kucing itu dipelihara di hadapan rumah, manakala lapan lagi ditempatkan dalam empat sangkar berasingan di bahagian belakang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Nurasyikin Abdullah berkata, sepasukan polis telah melawat tempat kejadian.
Dalam kes Unimas, ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii menyatakan ketidakyakinnya dengan penjelasan universiti itu yang menafikan penglibatan manusia.
Ahli Parlimen DAP itu menggesa Unimas supaya membenarkan pakar veterinar dari luar serta pihak berkuasa berkaitan menjalankan bedah siasat ke atas haiwan tersebut, yang kini telah dikebumikan.
