mk-logo
Berita
Buat seragam sekolah siap cetak lencana bendera, saran PIBG
Diterbitkan:  Apr 23, 2025 8:30 AM
Dikemaskini: 2:19 AM

Seragam sekolah dicadangkan dihasilkan secara automatik siap tersemat dengan lencana Jalur Gemilang — tanpa membebankan ibu bapa dengan kos tambahan.

Cadangan itu disuarakan Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional, Prof Madya Mohamad Ali Hasan susulan pelaksanaan penggunaan lencana bendera Malaysia oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bermula semalam.

"Secara dasarkan saya menyokong penuh pelaksanaan pemakaian lencana Jalur Gemilang diperkenalkan oleh KPM ini.

"Ia dapat meningkatkan kesedaran jati diri dan semangat kenegaraan di kalangan warga sekolah khususnya pelajar,” katanya kepada Malaysiakini semalam.

Mohamad Ali turut mencadangkan agar terdapat dua jenis pemakaian mengikut peringkat usia pelajar dan kakitangan sekolah.

"Saya fikir perlu diwujudkan dua jenis pemakaian iaitu wujudkan seragam sekolah yang sudah terlekatkan 'automatik' dengan Jalur Gemilang bagi pelajar sekolah rendah dan prasekolah.

"Tetapi inisiatif ini mesti dipastikan tidak melibatkan kos tambahan kepada golongan ibu bapa.

“Satu lagi pemakaian lencana (Jalur Gemilang) jenis pin kepada pelajar-pelajar sekolah menengah dan kakitangan sekolah,” jelasnya.

Dia mengulas kebimbangan segelintir ibu bapa terhadap penggunaan lencana pin yang berpotensi mendatangkan kecederaan kepada murid, terutamanya yang masih kecil atau ketika aktiviti sukan.

Inisiatif pemakaian lencana bendera itu turut merangkumi institusi lain di bawah KPM termasuk Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Putrajaya sebelum ini dilaporkan membekalkan dua unit lencana secara percuma kepada setiap pelajar di seluruh negara sebagai usaha memupuk nilai patriotisme.

Mohamad Ali berkata menjadi harapan pihaknya agar idea seragam siap dengan lencana bendera tersemat ini dapat direalisasikan bermula sesi persekolahan tahun depan.

Berdasarkan data umum, kerajaan menganugerahkan 31 tender bernilai RM5.74 juta bagi penghasilan 7.58 juta unit lencana Jalur Gemilang.

Harga purata setiap lencana dianggarkan kira-kira RM0.76 sen, dengan variasi antara RM0.72 sen hingga RM0.80 sen mengikut kontrak.

Malaysiakini juga mengenal pasti 7 lagi permintaan sebut harga melibatkan 1,543,746 unit lencana namun keputusan belum diumumkan.

Sekiranya harga seunit kekal, jumlah keseluruhan kos boleh mencecah RM6.91 juta untuk keseluruhan 9,118,788 lencana.

Sementara itu, data KPM menunjukkan seramai 4,978,302 pelajar telah mendaftar di sekolah bantuan kerajaan di peringkat rendah dan menengah pada tahun 2023 — data terkini yang tersedia setakat ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS